Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Monday, September 19, 2011


Hukum Beli Emas Ansuran & 'Trade In'




Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

a- Ustaz, saya ada mendengar bahawa barangan emas tidak boleh di beli secara ansuran, adakah ia benar dan mengapa? Untuk makluman, jual beli emas secara tangguh ini amat berleluasa terutamanya di Kelantan.

b- Pohon penjelasan ustaz juga berkenaan cara menukar emas lama dengan yang baru, yang dikenali sebagai "trade in" yang selalu di lakukan oleh kaum wanita di Malaysia.

- ingin selamat di akhirat-

Jawapan :

a. Jawapan Emas di Jual Beli Secara Ansuran.

Semua ulama empat mazhab mengharamkan jual beli barangan emas secara ansuran dan hutang.

Bagaimanapun, terdapat pandangan yang mengatakan ia bukan lagi di anggap emas kerana telah dibentuk, bagaimanapun semua empat mazhab menolak hujah ini kerana gelkang, cincin, rantai emas itu, walaupun telah di bentuk ia masih lagi emas dan tidak akan terkeluar dari sifat emasnya. Ia juga adalah pendapat sahabat seperti Ibn Umar, Udabah bin Somit dan disokong oleh pelbagai ulama kontemporari seperti Prof. Dr Muhydin Qurah al-Daghi, Prof Dr Ahmad al-Kurdi, Prof Dr Ali Salus. Prof. Dr Mohd Said Ramadhan Al-Buti dan ramai lagi.

Rujuk pandangan mazhab empat dalam Al-Mabsut 14/4 ; Al-Bayan wa at-Tahsil 6/444 ; At-Tamhid 2/246 ; Al-Umm , 2/32 ; Takmilah al-Majmu' oleh As-Subky . 10/83 ; Mughni al-Muhtaj , 2/25 ; al-Mughni oleh Ibn Quddamah , 6/60 ) 

Ibn Abd al-Barr dlm Istizkar menyatakan telah berlaku ijma' (sepakat) mengatakan bahawa emas dengan emas seperti dalam bentuk ‘at-tibr' (serbuk) dan apa jua bentuk emas tersebut, hukumnya tetap tidak harus berlaku sebarang tafadhul (tambahan dari mana-mana pihak yang berurusniaga), demikian juga perak. Justeru tidak harus membelinya secara ansuran dan hutang.

Khatib As-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (2/25) mengatakan bahawa hasil pembuatan atau tukangan emas hingga menjadi barang kemas berbentuk itu tidak memberi sebarang kesan kepada hukum emas yang asal.

Bagaimanapun terdapat satu pendapat minorti ulama yang mengatakan bahawa emas tulen apabila ia telah di bentuk sehingga menjadi rantai, gelang dan cincin. Ia telah menjadi sil'ah (barangan dagangan seperti kereta kerana terdapat proses pembentukan dan pembuatan) dan tidak lagi dianggap sebagai emas biasa, justeru hukumnya juga berubah.

Pandangan minority ini di katakan adalah pandangan Ia adalah pendapat Mu'awiyah (Rujuk riwayat ini dalam Al-Muwatta oleh Imam Malik dlm kitab Buyu' no 2541; An-Nasaie 7/279 ; Al-Bayhaqi 5/280, tapi Abu Darda telah menegur Mu'awiyyah kerana pandangannya bersalahan dengan nas hadith dan kemudian mengadu ke Sayyidina Umar, dan Umar juga mengharamkan), Ibn Taymiah dan Ibn Qayyim (Rujuk I'lam al-Muwaqqi'ien, 2/141 utk pendapat Ibn Qayyim dan rujuk kitabnya Tafsir ayat Asykalat utk pendapat Ibn Taymiah 2/632 tapi jika dirujuk Majmu' al-fatawa kita akan dapati Ibn Taymiah bersama pendapat jumhur pula). Hasilnya menurut kumpulan ini adalah Harus untuk menjual dan membelinya secara hutang dan ansuran kerana ia telah jadi sil'ah (barang dagangan).

Ia disokong Prof Dr Mahmud ‘Akkam dari Syria dan disetujui oleh As-Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi (kerana "umum al-balwa" - Perkara maksiat yang kurang mudarat tetapi terlampau meluas dan sukar untuk di halang).

Mereka semua menyokong apa yang disebut oleh Ibn Rusyd al-Maliki ( w 595 H) berkata (Rujuk Bidayatul Mujtahid 2/103) yang mengatakan bahawa: "perhiasan emas dan perak sudah terkeluar dari katergori emas tulen (yang tertakluk kepada hukum tukaran emas dalam Islam), justeru harus menjual dan membelinya walaupun secara tangguh.

Ibn Mufleh al-Hanbali (w 763 H) pula berkata (rujuk al-Mubdi' 4/149) : Sesungguhnya ia telah keluar dari sifat asal dengan sebab sun'ah (pembuatan dan pertukangan).

Dalil-dalil jumhur dari pelbagai hadith, boleh rujuk di dalam kitab Az-ziyadah Wa atharuha fi al-Mu'awadah al-Maliah oleh Dr Abd Raouf Bin Muhd Al-Kamali (tesis PhD di Univ Imam dengan tahap Mumtaz, 2/558)

Kesimpulan dan pandangan terpilih : Maka hukum barang kemas adalah sama dalam hal ini, kerana ia tetap emas pada pandangan majoriti, lalu setiap pembelian dan penjualan yang dibayar menggunakan duit (maka Kesatuan Fiqh Sedunia telah memutuskan bahawa matawang kertas adalah ‘nuqud istilahiah' yang sama hukum hakamnya dengan emas, maka jual beli barang kemas dengan wang adalah nuqud dengan emas, maka wajib taqabud boleh tafadhul kerana tidak sama jenis. 

b- Jawapan Bagi ‘Trade in' Emas Lama Dengan Emas Baru.

Jelas menurut perbahasan hukum bahawa ‘trade in' emas lama dengan yang baru atau barang kemas emas lama dengan yang baru mestilah mengikut hukum yang dibincangkan di atas, iaitu menurut majoriti ulama setiap barang kemas tetap dianggap emas dan bukan sil'ah, maka bila seseorang ingin menukarnya dengan barang kemas baru emas yang lain. Ia mesti punyai dua syarat tanpa khilaf (Boleh rujuk pelbagai kitab antaranya al-muamalat al-Maliah al-Mu'asiroh oleh Prof Dr Ali Salus, hlm 180 ; Al-Buyu' al-Sya'iah oleh Dr Tawfiq al-Buti dan lain-lain), iaitu :

i) Mutamathilan - mesti sama berat timbangannya. Manakala standard emas tersebut (‘Iyar) 20 atau 21 atau 24 tidak memberikan sebarang kesan. Ia adalah berdasarkan hadith yang menyebut tentang tamar khaibar (yang kurang elok atau buruk) yang ditukar dengan tamar Janib (yang elok) yang mana ianya mesti menuruti syarat sama berat walaupun berbeza kualiti. Hadith ini riawayat al-Bukhari dalam kitab al-Buyu', no 4553. Jika tidak Riba Al-Fadl akan berlaku.

ii) Mesti 'Taqabud fil hal aw fil majlis' ( diserah dan terima dalam satu masa) - kerana ia adalah tertakluk kepada hukum sarf (tukaran matawang dengan matawang), maka tidak dibenarkan untuk menangguh masa serahan. Justeru, mestilah kita menyerahkan emas lama, dan kemudian penjual menyerahkan emas baru yang sama berat pada ketika itu juga. Jika tidak, Riba Nasiah akan berlaku.

Mungkin ada yang akan bertanya, jadi kalau kita ingin melakukan 'trade in' dengan emas baru yang lebih mahal harganya?? Bagaimana kita nak bayar tambahan harga itu? 

Jawabnya : Ia sama dengan kes dalam hadith Tamar Khaibar dan Janib tadi. Jawapan yang diberi oleh Rasulullah SAW adalah : "Juallah dengan sempurna , ambillah harganya dan kemudian belilah semula dengan duit kamu tadi"

JELAS, CARANYA : MESTILAH SESEORANG YANG INGIN MELAKUKAN 'TRADE IN'. MENJUAL TERLEBIH DULU KEPADA PEKEDAI EMAS ITU, LALU IA MESTILAH MENGAMBIL DUIT HARGA RANTAI LAMA ITU, CTH HARGA SEUTAS RANTAI EMAS LAMA KITA RM 2000 DAN BERATNYA 200 GRAM, APABILA KITA INGIN TRADE IN DENGAN RANTAI BERHARGA RM2500, MAKA KITA MESTI JUAL DULU, LEPAS KITA PEGANG DUIT RM2000, BARULAH KITA PILIH RANTAI BARU DAN KEMUDIAN TAMBAH DGN RM 500, KEMUDIAN PEMBELI MEMBAYAR KEPADA PEKEDAI LALU MENGAMBIL RANTAI BARU ITU.

Kemungkinan jika transaksi seumpama ini di buat di Malaysia, ia akan kelihatan pelik. Bagaimanapun itulah cara yang selamat dari Riba.

Ust Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Hukum Akaun Pelaburan Emas di Bank Malaysia

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

Soalan 1

Assalamualaikum UZAR, Saya nak kepastian dari UZAR mengenai masalah berikut:

Bagaimana pula pelaburan emas Kijang emas yang telah diperkenalkan oleh Maybank? Bagaimana cara selamat mengikut undang-undang Syariah untuk membeli dan melabur gold tersebut? Sila masuk ke maybank2u.com Terima kasih.

Akaun Pelaburan Emas di Maybank atau Public Bank - Pelaburan di Maybank jika mahu boleh dapatkan emasnya tapi di Public Bank tak pasti emasnya boleh dikeluarkan (Tiada yang sumber memastikan yang emas di PB boleh dikeluarkan). Jika mereka dagangkan hanya berdasarkan harga sahaja adakah ianya SAH disegi Islam?

Soalan 2

Saya telah membuat panggilan telefon (Public Bank customer service 1800883323) untuk mengetahui cara-cara urusniaga pelaburan akuan emas ini.

Dari maklumbalas yang diberikan ialah:

Jualbeli emas hanyalah berdasarkan harga semasa dan tidak mewakili emas fizikal.

Keuntungan pelaburan adalah dari perbezaan harga beli dan jual.

Setakat ini nilai pelaburan tidak mewakili emas fizikal dan tiada emas yang boleh dikeluarkan. Mereka ada rancangan perlaksanaan pembelian emas secara fizikal tetapi mungkin tahun depan.

Bagaimana pula Maybank yang Emasnya boleh diperolehi jika ada permintaan.

Minta komen ustaz kerana ramai pengguna-pengguna Islam terkeliru diatas pelaburan ini yang dianjurkan oleh institusi yang disahkan oleh kerajaan.

JAWAPAN

Tidak dinafikan, tatkala nilai matawang USD dan lain-lain semakin tidak menentu ketika ini, membeli emas dengan tujuan pelaburan adalah tindakan positif menurut banyak pendapat. Ini mungkin disebabkan emas yang mempunyai nilai lebih stabil berbanding matawang kertas ( paper or fiat money), ditambah pula dengan permintaan emas yang sentiasa ada.

Bagi mengulas isu yang ditanyakan, setelah merujuk dan melakukan pembacaan maklumat dari web bank yang terbabit, saya berpendapat seperti berikut :-

Apabila seseorang pelanggan ingin membuka akaun pelaburan emas, ia beerti ia bersetuju untuk membeli emas, simpan dan mungkin menjualnya apabila harga emas meningkat.

Oleh kerana itu, hukum bagi sebarang jenis akaun pelaburan jenis emas ini bergantung kepada beberapa keadaan, bagi memberikan sedikit kefahaman kepada pembaca berkenaan keadaan-keadaan berbeza ini, ia adalah seperti berikut :-

• HARAM DAN BATAL : Jika emas itu belum berada dalam pemilikan bank dan hanya akan dibeli daripada pihak ketiga dalam majlis transaksi yang berasingan. Urusniaga pembukaan akaun itu telah menjadi HARAM dan tidak SAH, kerana pihak bank telah menjual emas yang tiada di dalam miliknya dan juga kerana riba telah berlaku apabila tiadanya elemen ‘Taqabud fil Majlis' (serah terima dalam satu masa), sebarang penangguhan membawa kepada Riba an-Nasiah.

Kesimpulan ; pastikan emas yang ingin dijual mestilah berada dalam pemilikan pihak bank tersebut.

• HARAM DAN BATAL : Iaitu jika emas BELUM atau TIDAK diterima sertamerta ketika membuka akaun pelaburan emas itu.

Sebagai contohnya, pelanggan hanya yang membayar sejumlah wang untuk membeli emas 100 gram dan memulkana akaunnya, namun pihak bank tidak memberikan sebarang bukti pembelian telah termeterai dengan rasminya atau ‘concluded'. SERTA tiada sebarang jenis bukti bertulis yang menunjukkan pelanggan kini menerima ‘hak tasarruf' (hak kebebasan terhadap sejumlah emas yang telah dibelinya sama ada untuk menjualnya padabila-bila masa yang dikehendakinya).

• HALAL DAN SAH :

Setelah anda membaca dua bentuk yang jatuh haram, sudah tentu anda mampu memeastikan bagaimana bentuk akaun pelaburan emas yang halal dan sah. Iaitu :-

a. Bank memiliki emas yang dijual semasa menjual.

b. Bank memberikan bukti dan hak tasarruf kepada pelanggan sama ada dalam bentuk fizikal emas atau bentuk sijil hak ke atas sejumlah emas (yang telah dibeli), yang mana sijil itu melayakkan pelanggan itu menuntut emasnya secara fizikal pada bila-bila masa yang dikehendakinya. Ini bermakna sijil itu ibarat sebuah kad debit dan cek yang mewakili duit fizikal yang wujud. Penyerahan menggunakan sijil ha milik emas sebagai tanda pembeli dan pembukaan akaun sudah sempurna adalah SAH DAN HARUS di sisi Islam. Ia dianggap sebagai penyerahan tidak fizikal (al-Qabdhu Al-Ma'nawi) Demikian fatwa oleh Majlis Fiqh Antarabangsa dalam keputusan mereka nombor 84, 9/1 (Qararat Wa Tawsiat, hlm 191)

DALAM KES AKAUN PELABURAN EMAS DI BANK ?

Setelah melihat serba ringkas info akaun pelaburan emas di kedua-dua bank terbabit melalui web mereka. Saya kira Maybank menawarkan akaun pelaburan emas yang HALAL dengan TIGA lagi syarat tambahan lagi, iaitu :

1- JANGAN DIGUNAKAN UNTUK AKTIVTI RIBA : mestilah emas sebenar (fizikal) yang berada simpanannya bagi pihak pelanggan tadi TIDAK digunakan untuk kegunaan aktiviti ribawi mereka. Justeru, satu jaminan atau pengesahan dari pihak bank mestilah diperolehi sama ada secara lisan atau bertulis atau disahkan oleh Majlis Syariah bank berkenaan.

Apabila kita menyimpan emas fizikal yang telah kita beli di bank tersebut, aqad simpanan itu juga sepatutnya mesti dikenal pasti dengan jelas. Apakah jenis aqadnya? Adakah ia Wadiah? atau Qard dan sebagainya.

2- JUMLAH EMAS MENCUKUPI KETIKA TRANSAKSI : Mestilah dipastikan wujud jumlah emas mencukupi ketika proses jual beli dibuat pada satu-satu masa.

Maksud saya, sebagai contoh : Bank mempunyai 100 kilo emas sahaja, dalam masa yang sama (satu waktu), 100 kilo emas itu digunakan untuk dua atau lebih pelanggan yang berlainan.

Pelanggan Ahmad membeli 100 kilo emas pada jam 2.30 petang, demikian juga sdr Ah Chong tepat jam 2.30 petang juga membeli dan membuka akaun yang sama di kaunter berlainan, padahal bank hanya mempunyai 100 kilo emas sahaja. Tatkala itu, transaksi orang kedua tidak sah. Hanya yang pertama sahaja yang sah.

3- CARA PEMBAYARAN YANG HALAL : Pembayaran yang dibuat oleh pihak pelanggan pula WAJIBLAH menggunakan sama ada tunai, debit akaun sertamerta, kad debit dan kad kredit Islam bank tempatan, cek tempatan.

Sebarang pembayaran menggunakan cek antarabangsa dan kad kredit Islam yang mengambil masa lebih 3 hari untuk settlement adalah TERLARANG menurut fatwa Majlis Fiqh Antarabangsa.

Mengapa 3 hari? ia adalah tempoh maksimum menurut ‘uruf bagi memastikan syarat ‘Taqabud fil hal' tercapai, ia adalah fatwa yang dipetik dari pandangan Mazhab Maliki dan juga fatwa kebanyakan ulama fiqh sedunia, termasuk Syeikh Dr Abd Sattar Abu Ghuddah.

4- PEMEGANG AKAUN PELABURAN EMAS MESTILAH MEMBAYAR ZAKAT : Apabila cukup hawl atau tempoh setahun bulan Islam dan apabila nisab simpanannya mencapai atau melebihi nisab wajib keluar zakat emas iaitu 85 gram. Untuk kira-kira buka di sini. 

Namun akaun pelaburan Public Bank saya kurang pasti kerana tidak dinyatakan sama ada sijil atau bukti pembelian itu boleh ditukarkan kepada emas fizikal pada bila-bila masa yang dikehendaki. Malah penyoal menyatakan beliau telah menelefon pihak bank dan terbukti sijil atau bukti pembelian itu tersebut TIDAK BOLEH ditukar kepada emas fizikal. Tatkala itu, bagi saya transaksi ini bermasalah dari sudut hukum Islam.

Jika sijil tersebut tidak boleh ditukar kepada emas fizikal, tatkala itu ia memberikan kesan kepada proses ‘Taqabud al-hukmi' yang disyaratkan dalam jual beli item ribawi dan merosakkan aqad ini, dalam kes ini antara emas dan wang Ringgit Malaysia.

KESIMPULAN

Bagi sesiapa yang ingin membuka akaun ini, saya nasihatkan menyemak terlebih dahulu perkara yang telah saya sebutkan di atas. Ditambah pula, akaun pelaburan emas dan kijang emas ini tidak diletakkan di bawah skim pelaburan Islam maybank dan public bank. Ia sekali lagi menimbulkan tandatanya. Saya tidak ada kemudahan untuk menyemak hal itu ketika ini kerana kesukaran komunikasi dengan pihak bank terbabit, terutamanya berada di perantauan.

Jika anda sudah punyai jawapan kepada syarat dan persoalan yang saya utarakan di atas. Baik jika dapat anda memaklumkan kepada saya dengan tepat dan jitu. Saya juga berminat untuk membuka akaun ini jika semua persoalan di atas telah LULUS.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Wang fiat dan hukum riba


Persoalan : Adakah wang fiat sekarang ini barang ( a’in ), hutang (da’yn) atau sebenarnya satu penipuan/tipu daya/riba untuk menghalalkan pencurian harta.
Penggunaan dinar dan dirham sebagai matawang shariah adalah untuk mengembalikan fungsinya khusus didalam :
  1. Jualbeli kerana sahnya jualbeli tertakluk kepada syarat – syarat yang tertentu khususnya jualbeli yang tidak melibatkan riba, judi dan tipu daya – gharar.
  2. Muamalat Islam – Bab Qirad (mudharabah) dimana hanya nuqud (emas dan perak) sahaja boleh dijadikan modal dan bukannya fulus (a’in selain emas dan perak) juga bab memberi hutang (Al qard).
  3. Zakat – Dibayar dengan a’in (mata benda yang wajib zakat) bukan day’n (resit atau kertas hutang).
Surah Hud : Maksud ayat 85
“ Wahai kaumku, Sempurnakanlah sukatan dan timbangan dengan adil dan Jangan kamu kurangkan manusia akan benda – benda yang menjadi haknya danJangan kamu merebakkan bencana kerosakan diatas mukabumi “
Surah An nisa’ : Maksud ayat 29
“ Wahai orang-orang yang beriman jangan kamu makan harta –harta sesama kamu dengan jalan yang bathil (tipu,judi,riba dan sebagainya) kecuali dengan jalan perniagaan dengan secara suka sama suka. “
Sejarah penciptaan wang fiat melalui tiga fasa :
Permulaannya emas dan perak digunakan alat pertukaran dalam jualbeli.
Berfungsi sebagai resit simpanan emas dan perak. ( da’yn)
Tiada lagi sandaran emas dan perak sejak 1971. Menjadi wang fiat sepenuhnya yakni diberi nilai dengan bukan nilai sebenar padahal nilainya yang sebenar hanyalah sekeping kertas.(wang kertas), sedangkan wang hasil dari penciptaan atas angin dari rezab berkanun (fractional reserve banking) secara elektronik tidak wujud dalam bentuk kertas sekalipun. 4% wang wujud dalam bentuk kertas sedangkan yang lain dalam bentuk akaun, cek dan sebagainya.
Dalam sejarah Islam : Logam yang digunakan sebagai alat perantaraan dalam jualbeli (medium of exchange) terbahagi kepada dua kategori.
Naqdain – Emas dan Perak. 1 dinar = 4.25 gram emas 916 dan 1 dirham = 2.975 gram perak 999
Fulus – Tembaga atau logam – logam yang lain tetapi nilainya tidak melebih nilai dirham terendah, diguna pakai untuk transaksi jualbeli rencehan (kecil –kecilan)
Kata Imam Ghazali tiada jadi riba itu melainkan dalam dua pekara :
1) Makanan : spt. gandum, sya'ir, kurma , anggur, garam, beras, jagung , ful dan lain –lain. ( yang mengenyangkan dan bersedap – sedap dengan ada tempoh simpanan )
2) Nuqud : Emas dan Perak : Walaupun dalam bentuk bahan seperti perhiasan emas dan perak. 
Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w :
" Janganlah kamu menjual emas dengan emas, perak dengan perak, sya'ir dengan sya'ir, kurma dengan kurma, garam dengan garam kecuali sama besar(sawaan bi sawain) , barang dengan barang (ai’nan bi ai’nin), tangan dengan tangan (kesegeraan). Apabila pertukaran melibatkan jenis yang berlainan, lakukanlah ,asalkan serah terima tangan ke tangan (qabadh - kesegeraan)."
Abu Sa’id Al-Khudri berkata bahawa Bilal membawa kepada Rasulullah sedikit buah tamar Barni dan bila ditanya dari mana dia memperolehinya, dia menjawab: “Saya mempunyai sedikit buah tamar yang rendah mutunya, jadi saya tukarkan dua Sa’s darinya dengan satu Sa’ (yang ini).” Rasulullah menjawab: “Ah! Inilah sebenarnya intipati Riba, sebenarnya intipati Riba! Jangan berbuat demikian, tetapi bila engkau membeli, jual buah tamar engkau itu dalam urusan jual beli yang berasingan, dan dari pendapatannya belilah apa yang engkau kehendaki.” (Bukhari, Muslim)
Dari hadith tersebut, dapat kita pelajari bahawa Nabi Muhammad s.a.w melarang pertukaran yang tidak sama banyak antara ‘tamar’ dengan ‘tamar’. Baginda s.a.w mengisytiharkan bahawa pertukaran sebegitu merupakan intipati sebenar Riba. Bagaimanapun terdapat bukti yang pertukaran tidak sama antara ‘unta’ dengan ‘unta’ diizinkan.
Yahya menyampaikan kepada kami dari Malik dari Naf’I bahawa Abdullah Ibn Umar membeli (iaitu bertukar) seekor unta betina tunggangan dengan 4 ekor unta dan dia jamin memberinya secukupnya kepada pembeli di Ar-Rabadha. (Muwatta, Imam Malik)
Di sini persoalan pasti timbul: kenapa terdapat larangan pertukaran tidak sama bagi buah tamar, tetapi tiada larangan bagi pertukaran tidak sama bagi ternakan unta?
Hadith Rasulullah s.a.w yang disebutkan di atas dengan jelas meletakkan asas :
Bahawa ‘wang’ dalam Islam adalah, samada logam bernilai seperti emas dan perak, atau komoditi seperti gandum, barli, buah tamar dan garam yang merupakan komoditi yang biasa dimakan tetapi mempunyai tempoh simpanan. Yang demikian, bila terdapat kekurangan wang emas dan perak di pasar Madinah, komoditi seperti buah tamar, yang terdapat dengan banyaknya di pasaran, dan juga mempunyai tempoh simpanan, telah digunakan sebagai wang. Berikutnya kita boleh memberi jawapan kepada persoalan yang ditimbulkan di atas tadi.
Pertukaran yang berbeza membabitkan unta dengan unta dibenarkan kerana binatang ternakan tidak pernah digunakan sebagai wang. Pertukaran tidak sama banyak bagi buah tamar dengan tamar perlu dilarang kerana tamar digunakan sebagai wang, dan sekiranya dibenarkan akan memberi peluang kepada peminjam wang untuk memberi pinjaman dengan mengenakan faedah.
Riba itu pada lughoh maknanya bertambah, dan pada syarak maknanya: berakad menukar satu barang dengan barang lain yang tidak sama banyak dalam pandangan syarak atau ditangguhkan terimaan kedua-dua atau salah satu daripada kedua barang itu.
Yang dimaksudkan dengan barang dalam bab riba ini ialah emas, perak, dan makanan, yang lain daripadanya seperti tembaga, kain, timah, getah dan lain-lain tidak termasuk dalam kumpulan barang riba. Barang riba itu dalam bahasa Arab disebut “ribawi”.
Riba berlaku pada asasnya atas dua sebab :
Pertama: Jual beli mahu sama banyak atau sama berat barang yang dijual dengan barang yang jadi harganya. Maka jika tidak sama banyak dinamakan riba al-fadli (berlebihan). Termasuk dalam riba ini: memberi hutang dengan ada faedah untuk piutang. Juga disebut sebagai riba al qard.
Kedua : Jual beli mesti tunai yakni tidak boleh tangguh, mesti memberi dan menerima pada majlis aqad ( taqabudh fil majlis ) . Maka jika berlaku penangguhan maka jadi riba an nasi’ah (tangguh). Juga disebut riba al yad.
Kesimpulannya : Perkataan ‘ilah itu maknanya sebab. Disini sebab itu dua, pertama emas dan perak, kedua makanan seperti gandum, kurma dan lain-lain.
Emas dan Perak : Berlainan jenis tapi satu ‘ilah
Makanan : Beras dan gandum berlainan jenis tetapi satu ‘ilah .
Maka emas dengan emas, perak dan perak, dan gandum dengan gandum tidak boleh dijualbelikan kecuali sama banyak dan tunai.
Emas dan perak boleh dijualbeli tanpa sama banyak tetapi mesti tunai.
Perak dan gandum boleh dijualbeli tanpa sama banyak dan boleh tangguh.
Resit emas , perak atau makanan (da’yn) tidak boleh digunakan sebagai wang.
Barang atau benda yang diakadkan itu dimiliki oleh yang berakad dengan milik yang sempurna. Dari itu tidak sah jual sesuatu barang yang belum diqabad (yang belum diterima atau belum ada dalam tangannya) kerana belum sempurna milik.
Kitab al Muwatta’ :
Yahya meriwayatkan kepada saya dari Malik dari ‘Abdullah ibn Dinar dari ‘Abdullah ibn ‘Umar bahawa ‘Umar ibn al-Khattab telah berkata
“ Janganlah kamu menjual emas dengan emas kecuali dengan seimbang , janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain, janganlah kamu menjual perak dengan perak kecuali dengan seimbang dan, janganlah kamu menambah sebahagian atas sebahagian yang lain dan janganlah kamu menjual sesuatu yang tidak ada dengan suatu yang ada (a’in). Jika seseorang meminta kamu menunggu untuk membuat pembayaran sehingga dia kembali ke rumahnya , janganlah kamu tinggalkannya, aku bimbang rama’ atas kamu. Rama’ ialah riba.
Yahya meriwayatkan padaku dari Malik bahwa ia mendengar tanda terima/resit(sukukun) dibagikan pada penduduk pada masa Marwan ibn al-Hakam untuk barang di pasar al-Jar. Penduduk membeli dan menjual resit diantara mereka sebelum mereka mengambil barangnya. Zayd ibn Tsabit bersama seorang Sahabat Rasulullah, sallallahu alayhi wa sallam, pergi menghadap Marwan ibn al-Hakam dan berkata, “Marwan! Apakah engkau menghalalkan Riba?” Ia menjawab, “Naudzubillah! Apakah itu?” Ia berkata, “Resit-resit ini yang dipergunakan penduduk untuk berjual-beli sebelum menerima barangnya.” Marwan kemudian mengirim penjaga untuk mengikuti mereka dan mengambilnya dari penduduk kemudian mengembalikannya pada pemilik asalnya.
Zayd ibn Thabit khususnya menyebut riba , resit (dayn) ‘dimana penduduk berjual beli sebelum menerima barang’. Emas ,perak atau makanan boleh digunakan sebagai bayaran,tetapi kamu tidak boleh menggunakan nota janji pembayaran. Didalamnya ada penangguhan sebagai tambahan yang tidak dibenarkan. Sekiranya kamu memiliki dayn, kamu haruslah mengambil barang tersebut (‘ayn) dan barulah kamu boleh bertransaksi. Dayn tidak boleh digunakan sebagai matawang dalam jualbeli.
Dalam Bab Hutang ( Al qard ) :
Iqradl/ menghutangi – memberikan milik sesuatu kepada orang lain dengan pengembalian yang sama- adalah Sunnah, kerana mengandungi unsur menolong menghilangkan kesulitan; ini termasuk sunnah-sunnah yang muakkad berdasarkan beberapa hadis yang telah di kenal.
Seperti misalnya hadis riwayat Muslim “Barangsiapa membantu melonggarkan satu di antara beberapa kesulitan duniawi temannya, maka Allah akan melonggarkan satu dari beberapa kesulitannya di hari kiamat, dan Allah adalah menolong hamba-Nya selagi hamba itu mahu menolong temannya.”
Hadis sahih menyebutkan : barangsiapa memberi hutang dua kali kerana Allah, maka mendapat pahala sebesar menshadaqahkan salah satunya.
Bersedekah lebih afdal daripada memberi hutang; lain halnya menurut pendapat sebahagian para Ulama.
Wajib mengembalikan barang yang sepadan yang dihutangi berupa nuqud emas dan perak sekalipun nuqud itu ditarik balik dari peredaran oleh pemerintah kerana mengembalikan nuqud itu lebih menepati hak pemberi hutang. Kitab Fathul Muin .
Imam Abu Hanifah, Mazhab Maliki, Mazhab Syafie dan Hanbali : Wajib ke atas pemiutang memulangkan hutangnya berdasarkan jumlah yang sama ketika aqad hutang dibuat, tanpa sebarang tambah atau kurang.
Sebagai contoh apa yang disebutkan oleh Imam Al-Kasani :
Ertinya : ” Dan sekiranya kerana tidak laku (sesuatu matawang itu), tetapi hanya nilainya yang menurun atau menaik, jual beli (yang telah termeterai) tidaklah terbatal secara Ijma’, dan pembeli perlulah membayar harga ‘mithl’ yang sama kuantitinya, dan tidak terpakai nilaian (baru) di sini” ( Badai As-Sonai’e, , 7/3245)
Imam As-Sayuti pula berkata :
Ertinya : Telah tetap bahawa sebarang hutang yang sohih, mestilah dipulangkan jumlah yang sama secara mutlaq, sebagai contoh apabila dipinjam satu jumlah fulus, maka wajib memulangkan jumlah fulus yang sama jenis, tanpa mengira nilainya menaik atau menurun” (Qat’u al-Mujadalah ‘Inda Taghyir Al-Mu’amalah, As-Suyuti, 1/97)
وذلك أنَّ الربَا منه يكونُ في النقدِ بالزيادةِ في الكيلِ والوزنِ
Kata Imam Shafie dalam Kitab Al Umm : Dan demikian sesungguhnya riba darinya pada nuqud (emas dan perak) adalah dengan tambahan pada ukuran dan timbangan.
Persoalannya : Zaman sekarang kita hutang dengan apa ? Apakah wang sekarang sesuatu yang boleh ditimbang dan diukur. Atau kita hanya berhutang dari mula dengan nilai
?

TIDAKKAH BID`AH?
MENYEDIAKAN MAKANAN SELEPAS KEMATIAN

Oleh Hasan bin Ahmad

1- Mukaddimah
Sudah menjadi adat resam yang lumrah kepada orang Melayu beragama Islam di tanah air kita apabila suatu kematian berlaku di dalam keluarga mereka, sudah tentu ahli keluarga si mati akan menyediakan makanan dan minuman.
Pada kebiasaannya selepas kematian, keluarga si mati memasak dan menyediakan nasi bungkus mengikut bilangan orang yang hadir sembahyang jenazah dan mengikut jumlah orang yang terlibat memberi pertolongan mentajhizkan mayat termasuk mereka yang menggali kubur dan sebagainya. Sebaik sahaja selesai sembahyang jenazah, nasi bungkus diedar dan dibahagi-bahagikan kepada setiap orang yang turun dari rumah selepas sembahyang.
Lepas kematian, di malam yang pertama hingga malam ketujuh diadakan majlis tahlil kepada ruh si mati, sesudah selesai tahlil, keluarga si mati menghidangkan makanan dan minuman kepada jiran dan para jamaah yang hadir sama ada jamuan ringan atau jamuan berat mengikut kemampuan masing-masing. Pada malam ketiga, malam ketujuh, malam ke empat puluh dan malam ke seratus, pada kebiasaannya dihidangkan jamuan nasi dengan aneka masakan gulai yang enak. Setiap malam Jumaat selepas hari ke tujuh hingga hari ke empat puluh atau kadang-kadang hingga hari ke seratus di adakan majlis tahlil, selepas tahlil di malam-malam berkenaan dihidangkan dengan pelbagai hidangan oleh ahli si mati.
Pendek kata bahawa menjamu makanan dan minuman selepas kematian sebagaimana dijelaskan sebentar tadi, menjadi tugas yang terpaksa dilakukan oleh ahli si mati, sama ada mereka dari orang kaya atau mereka yang kurang berada kalau tidak, nescaya akan dicela oleh jiran tetangganya atau sahabat handainya.
Bukan setakat dicemuh, malahan keluarga si mati yang tidak menurut resam turun temurun itu akan dipandang serong oleh masyarakat sekitar, bermacam-macam tuduhan dan tohmahan yang dilemparkan kepada ahli si mati yang tidak mengikuti tradisi itu, umpamanya dikatakan kedekut, bakhil, tidak mengenang jasa si mati dan dikatakan kepada keluarga yang tidak membuat kenduri kendara selepas kematian, seperti menanam batang pisang dan sebagainya.
Itulah antara ungkapan dan ujaran yang menggambarkan kejinya sesiapa yang meninggalkan tradisi yang tersebut itu.
Bahkan sebahagian besar dari kalangan umat Islam menganggapnya dari ajaran Islam yang penting tidak boleh diabaikan, kerana ianya turut dilakukan oleh orang yang ada pengetahuan agama, sama ada mereka lepasan dari pondok dan lepasan dari sekolah Arab agama. Mana-mana individu yang mengkritik adat resam itu nescaya akan dicop dan dilabelkan sebagai kaum muda yang hendak merosakkan ajaran Islam yang suci itu.
Walau bagaimanapun ada juga segolongan kecil umat Islam di negara kita berpendapat bahawa membuat dan menjamu makanan selepas kematian adalah perkara bid’ah yang perlu ditinggalkan, kerana tidak pemah dibuat oleh Nabi dan sahabatnya.
2- Kembali kepada Allah dan Rasul
Penyusun rasa terpanggil untuk mengikut serta dalam perbincangan masalah perselisihan yang tidak berkesudahan itu, semoga masyarakat kita dapat menilai khususnya alim ulamak dan bijak pandai Islam, siapakah yang sebenarnya berada di pihak yang hak dan siapakah pula berada di pihak yang kabur di dalam menentukan sikap terhadap masalah yang dinyatakan itu.
Ulamak silam telah membentang kepada kita umat kemudian mengenai hukum membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas berlaku kematian. Antara Hadith-Hadith yang membincangkan secara khusus mengenai perkara itu ialah :-
Yang Pertama:
Hadith yang sahih dikeluarkan oleh Abu Daud, A1-Tarmizhi dan Ibnu Majah dari Abdullah bin Jafar, beliau berkata, “Apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abi Talib), Nabi bersabda:
Maksudnya : “Hendaklah kamu membuat makanan kepada ahli Ja’far (isteri dan anak-anaknya), sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.
Dalam Hadith di atas, Rasulullah s.a.w. mengarahkan jiran tetangga yang tinggal berhampiran dengan keluarga si mati membuat makanan kepada mereka yang ditimpa musibah dukacita kematian. Ja’far bin Abi Talib mati syahid dalam peperangan Mu`tah pada tahun kelapan Hijrah, sebaik sahaja berita kematiannya sampai, Nabi menyuruh jiran tetangganya melakukan perkara itu kepada keluarganya supaya meringankan beban dukacita dengan memberi makanan kepada mereka.
Yang Kedua
Hadith Jarir bin Abdullah r.a, Maksudnya : “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”
Diriwayatkan oleh Ahmad b. Hanbal dan Ibnu Majah dengan isnad yang sahih.
Hadith di atas menunjukkan kepada kita, bahawa orang ramai yang berhimpun di rumah ahli si mati dan memakan makanan yang dimasak dan dihidangkan oleh ahli si mati adalah dari perbuatan ratapan. Ratapan selepas kematian adalah perbuatan jahiliah dan hukumnya haram, sebagaimana dimaklumi.
Kedua-dua buah Hadith yang dipaparkan itu adalah terdiri dari Hadith-Hadith sahih. Hadith sahih amat tinggi martabatnya di mana ia menjadi sumber hukum yang kedua selepas kitab suci Al-Quran. Perbincangan di kalangan Imam-Imam mujtahid dan ulamak-ulamak agung dari empat mazhab mengenai hukum menjamu makan selepas kematian adalah pada asalnya berdasarkan kepada dua Hadith berkenaan.
Betapa kuatnya sesuatu hukum yang bersandarkan kepada Hadith sahih, sehingga Imam Syafiiy pernah menegaskan mengenai perkara itu, maksudnya, “Apabila sahihnya Hadith, maka itulah mazhab aku, jika tidak sahih, hendaklah kamu campakkannya di belakang dinding”.

3- Pandangan Ulamak Mengenai Menjamu Makanan Dan Perhimpunan Selepas Kematian.
Di bawah ini diperturunkan pesanan ulamak besar lagi mujtahid :
3- 1 Imam Al-Syafiiy menegaskan dalam kitabnya (Al-Umm):
Maksudnya Aku suka jiran si mati atau orang yang mempunyai pertalian keluarga dengannya (keluarga jauh) memberikan makan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari malamnya kerana itu adalah sunnah dan ingatan (zikir) yang mulia dan ianya perbuatan golongan yang baik-baik sebelum dan selepas kita, kerana apabila tiba berita kematian Jafar, Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Buatlah kamu makanan kepada keluarga Ja’far kerana telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.
Maksudnya: “Aku benci diadakan ma`tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan kepada mereka, kerana sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui dukacita dan membebankan makanan”.
3- 2 Kata Imam Nawawi dalam Kitab Al-Majmu :-
Telah berkata Al-Syafiiy dalam Al-Mukhtasar : “Aku suka kepada kaum kerabat si mati dan kepada jirannya membuat makanan kepada ahli mayat yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, sesungguhnya ia adalah sunnah, dilakukan oleh golongan baik-baik. Kata Ashab kita (iaitu ulamak Fiqah Syafiiy) membuat pelawaan sungguh-sungguh supaya ahli mayat itu makan, walaupun mayat berada di negeri lain di sunatkan juga kepada jiran keluarga si mati membuat makanan untuk mereka”.
3- 3 Mengikut Kitab Al-Fiqahi Ala A1-Madhahib A1-Arbaah:
Setengah daripada perbuatan bid’ah yang makruh apa yang dibuat oleh manusia sekarang ialah melakukan penyembelihan ketika turunnya mayat dari rumah, ataupun semasa mayat berada di kubur. Hukumnya bid’ah dan makruh menyediakan makanan kepada mereka yang berkumpul untuk memberi takziah, dihidangkan makanan untuk mereka seperti dilakukan (menjamu makanan) di majlis-majlis atau perayaan kerana kegembiraan.
Jika memberi makan kepada orang ramai selepas suatu kematian sedangkan pewaris itu belum cukup umur, maka hukumnya haram. Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dari Jarir bin Abdullah beliau berkata : “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”.
3-4 Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah Rahimahullah berkata:
“Manakala ahli si mati membuat makanan dan memanggil orang ramai supaya memakannya, bahawa perbuatan ini tidak disyarakkan bahkan ia bid’ah berdasarkan kepada Hadith Jarir bin Abdullah kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan mereka memasak makanan untuk dijamu orang ramai adalah dari ratapan jahiliyyah”
3- 5 Didalam Kitab Fiqh Al-Sunnah menyebut:
Di sunatkan membuat makanan kepada ahli si mati, kerana ianya dari perkara kebajikan dan taqarrub kepada Allah dari jiran tetangga dan dari kaum kerabat (yang jauh). Imam Syafiiy berkata:
Aku suka kaum kerabat si mati membuat dan memberi makan kepada ahli mayat yang boleh mengenyangkan mereka untuk hari dan malamnya, kerana ia adalah sunnah dan perbuatan golongan yang baik-baik.
Ulamak mengatakan sunat mempelawa sungguh-sungguh supaya ahli mayat memakan makanan yang diberikan itu supaya mereka tidak menjadi lemah lantaran tidak menjamah makanan di sebabkan terlampau terkejut dengan peristiwa kematian atau dengan sebab segan.
Imam-imam mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya makruh ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai yang berkumpul kepada keluarga si mati. Kerana perbuatan itu menambahkan lagi musibah ke atas mereka dan memperbanyakkan lagi kesibukan di atas kesibukan mereka yang sediakan ada dan perbuatan itu tak ubah seperti kelakuan golongan jahiliyyah. Hujah ini berdasarkan Hadith Jarir bin Abdullah: “Kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian”
Setengah ulamak mengatakan hukumnya haram ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai.
3- 6 Di dalam Kitab Hukmu Al-Quran Lil Amwat menyebut:
Antara bid’ah yang diharamkan ialah ahli si mati menjamu makanan kepada orang yang memberikan takziah atau memberikan makan kepada fakir miskin selepas mengiring jenazah, pada hari Khamis, pada hari ketiga, pada hari keempat puluh dan tahunan. Tetapi yang sunnahnya sahabat handai dan jiran tetangga memberikan makanan kepada ahli si mati kerana Hadith Nabi bersabda: “Hendaklah kamu memberikan makanan kepada ahli Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”. Diriwayatkan oleh Tarmidhi dan selainnya dengan sanad yang sahih.
3- 7 Di dalam Kitab Ahkam A1-Janaiz Wa Bidaiha menyebut antara bid`ah ialah:
(i) Ahli si mati menerima tetamu dengan memberikan makan kepada mereka.
(ii) Hukumnya bid’ah apabila menerima jemputan bagi jamuan makanan daripada ahli si mati. (7)

4- Sunat Membuat Makanan Untuk Ahli Si Mati Pendapat Empat Mazhab
Selepas kita mengikuti perbincangan ulamak mujtahidin mengenai membuat dan menjamu makanan selepas kematian atau dengan lain perkataan, membuat kenduri dan jamuan makan selepas kematian. Difahamkan dari ulasan dan penerangan itu amat berbeza sekali apa yang diamalkan oleh kebanyakan masyarakat Islam kita pada hari ini, di mana amalan mereka membuat kenduri dan jamuan makan selepas kematian bercanggah dengan sunnah Nabi dan sunnah sahabat dan bertentangan dengan fatwa-fatwa ulamak. Kerana masalah ini sangat menebal di amalkan dalam masyarakat Islam Melayu kita penyusun merasai mustahak membentangkan pula kepada pembaca pendapat Fuqahaa dari empat mazhab sebagaimana berikut :-
4-. 1 Mazhab Maliki
Disunatkan kepada jiran dan seumpamanya menyediakan makanan kepada keluarga si mati kerana kesibukan mereka terhadap kematian.
4- 2 Mazhab Hanafi
Disunatkan kepada jiran keluarga si mati dan kaum kerabatnya yang jauh menyediakan makanan untuk keluarga si mati yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, kerana sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Jafar, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mnegharukan”. Kerana memberi makan itu perkara kebaikan dan maruf, dipelawa sungguh-sungguh kepada mereka supaya mereka makan, kerana kesedihan menghalang mereka dari makan makanan dan menyebabkan mereka menjadi lemah.
4- 3 Mazhab Hanbali
Disunatkan membuat makanan untuk ahli si mati, dihantar makanan itu kepada mereka kerana memberi pertolongan dan melembutkan hati mereka. Boleh jadi mereka sibuk dengan ujian bala yang diterima dan sibuk dengan kunjungan orang ramai yang datang menemui mereka, menyebabkan tidak dapat menyediakan makanan untuk diri mereka sendiri. Diriwayatkan oleh Abu Daud dari Abdullah bin Ja.far, beliau berkata apabila tiba berita kematian Ja’far (bin Abu Talib), Rasulullah s.a.w. bersabda hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan.
Diriwayatkan dari Abdullah bin Abu Bakar beliau berkata: “Sentiasa Sunnah Nabi itu menjadi ikutan kami (sahabat Nabi) sehingga ditinggalkan oleh manusia yang meninggalkannya (yakni sehingga sunnah ini ditinggalkan dan tidak di amalkan oleh kebanyakan orang).
4- 4 Mazhab Syafiiy
Sebagaimana disebut dalam kitab A1-Muhazzab oleh A1-Syairazi :
Disunatkan kepada kaum kerabat si mati dan jirannya membuat makanan kepada ahli si mati (suami / isteri dan anak-anaknya), kerana diriwayatkan apabila Jafar bin Abu Talib terbunuh, Nabi bersabda, “hendaklah kamu membuat makanan kepada keluarga Ja’far, sesungguhnya telah menimpa mereka perkara yang mengharukan”.
Imam Nawawi menyebut di dalam kitab A1-Majmu syarahan kepada kitab al-Muhazzab Imam Syafiiy berkata di dalam kitab A1- Mukhtasar, “Aku suka kepada kaum kerabat si mati danj irannya membuat makanan untuk ahli si mati yang mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya, sesungguhnya perbuatan itu sunnah dan dilakukan oleh golongan baik-baik.”
Telah berkata Ashab kita (ulamak Fiqah Syafiiy):
“Dipelawakan sungguh-sungguh kepada mereka (keluarga si mati) supaya mereka makan. Walau mayat itu berada di negeri lain sekalipun di sunnat juga kepada jiran tetangga keluarga si mati membuat makanan untuk mereka.”
Setelah kita mengikuti pendapat ulamak di dalam empat mazhab mengenai membuat dan menyediakan makanan ataujamuan selepas kematian, kita dapati semua mazhab telah bersepakat kata bahawa hukumnya sunat bagi jiran tetangga dan bagi kaum kerabat yang jauh kepada si mati membuat makanan kepada keluarga si mati, bukannya keluarga si mati yang memasak makanan dan menjamu jiran dan orang ramai apabila suatu kematian berlaku seperti diamalkan oleh kebanyakkan masyarakat kita pada hari ini.

5- Hukumnya Makruh Ahli Si Mati Membuat Makanan Untuk Di Jamu Kepada Orang Ramai- Pendapat Empat Mazhab.
Sebagaimana penyusun katakan bahawa adat resam ini menjadi ikutan yang setia oleh sebahagian besar masyarakat Islam di negara kita dan yang paling mendukacitakan ada setengah bijak pandai Islam mempertahankan habis-habisan tradisi turun temurun ini tanpa berpegang kepada dalil-dalil dan hujjah yang kukuh. Oleh itu penyusun fikir ada baiknya di bentangkan dahulu nas atau teks asal dalam bahasa Arab oleh ulamak dari empat mazhab kemudian diiringi dengan maksudnya di dalam bahasa Melayu.
5- 1 Pendapat Mazhab Maliki
Maksudnya: Perhimpunan orang ramai pada makanan di rumah si mati adalah bid’ah yang makruh tidak ada sandaran riwayat yang boleh di pegang sedikit pun, dan itu bukan tempat kenduri jamuan makan.
Pendapat ulamak dalam Mazhab Maliki itu jelas menunjukkan bahawa segala perhimpunan atau keramaian kenduri makan yang diadakan di rumah si mati selepas kematiannya adalah bid’ah lagi makruh kerana keadaan ketika itu tidak layak diadakan majlis jamuan.
5- 2 Pendapat Mazhab Syafiiy
(a) Sebagaimana di sebut dalam kitab A1-Majmu oleh Imam
Nawawi:
Maksudnya: Jika ahli si mati membuat makanan untuk orang ramai dan menghimpunkan mereka kepada makanan itu ianya tidak ada sandaran riwayat yang boleh dipegang sedikitpun, dan perbuatan itu bid’ah yang tidak di sunatkan. Berdalil dengan Hadith Jarir bin Abdullah r.a . Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian (10)
(b) Di dalam Kitab Fiqah Syafiiy yang lain pula menyebut:
Kesibukan ahli si mati (isteri / suami dan anak-anaknya) dengan memasak makanan (selepas kematian) dan menghimpun orang ramai untuk diberikan jamuan kepada mereka sebagaimana menjadi suatu kebiasaan di zaman sekarang, sebenarnya perbuatan itu bid’ah bertentangan dengan sunnah (ikutan Nabi dan sahabat) dan bercanggah dengannya percanggahannya yang berat, tetapi yang sunnahnya ialah sebaliknya (jiran atau keluarga yang jauh atau sahabat handai yang memberikan makan kepada keluarga si mati).
Setengah dari perkara bid’ah yang dilakukan oleh ahli si mati ialah menghimpunkan orang ramai dengan memberi jamuan kepada mereka sempena dengan berlalunya tempoh empat puluh hari lepas kematian dan seumpamanya (seperti tiga hari, tujuh hari, dua puluh hari dan sebagainya). Jika perbelanjaan nafkah makanan tersebut itu dari harta penerima pusaka yang belum cukup umur, maka hukum haramnya perbuatan itu adalah sangat berat, kerana memakan harta anak yatim dan menghabiskan hartanya bukan untuk faedah kebajikkannya. Orang yang mengajak kepada makanan itu dengan orang yang memakannya adalah sama-sama berkongsi melakukan perkara yang diharamkan. (11)
(c) Hasyiah Iaanah A1-Talibin Syarah kepada Kitab Fiqah FathuAl-Muiin- merupakan Kitab Fiqah Mazhab Syafiiy yang penting - ada menyebut antaranya:
Hukumnya makruh ahli si mati duduk menunggu untuk menerima takziah dan makruh membuat makanan serta menghimpun orang ramai bagi menjamu mereka (kerana berpegang kepada hadith) yang di riwayatkan oleh Ahmad dari Jarir bin Abdullah r.a. beliau berkata kami mengira perhimpunan orang ramai kepada ahli si mati dan membuat makanan selepas pengkebumiannya adalah dari ratapan kematian.
Apa yang dilakukan oleh orang ramai dengan berkumpul di rumah ahli si mati dan membuat makanan adalah dari perbuatan bid’ah yang mungkar yang mana diberi pahala kepada pihak penguasa yang mencegah perbuatan itu.
Dijadikan adat kebiasaan ahli si mati membuat makanan untuk menjemput orang ramai bagi menikmati makanan yang di masak. Perbuatan itu adalah bid’ah lagi makruh, seperti juga hukumnya bid`ah lagi makruh kepada orang yang menerima panggilan itu.
Setengah dari bid’ah yang menukar, makruh dilakukan, seperti apa yang dibuat oleh manusia daripada wahsyah (berkumpul serta memberikan makan kepada orang ramai), menghimpun orang ramai dan mengadakan sambutan majlis kenduri makan sempena empat puluh hari kematian. Bahkan semua itu menjadi haram jika perbelanjaan berkenaan dari harta mahjur (belum baligh, gila dan sebagainya) atau dari harta si mati yang mempunyai bebanan hutang ke atasnya atau jika timbul pelbagai kemudaratan dan sebagainya.
Rasullullah s.a.w. berkata kepada Bilal bin A1- Harthi
Wahai Bilal siapa yang menghidupkan satu sunnah dari sunnahku yang dimatikan selepas ku ini dia akan mendapat pahala seperti orang yang beramal dengannya tanpa kurang sedikitpun pahala mereka itu, dan siapa merekaciptakan suatu bid`ah yang sesat tidak diredai Allah dan Rasulnya dia akan mendapat dosa seperti orang yang melakukannya tanpa sedikitpun kurang dari dosa mereka itu.
Tiada keraguan lagi bahawa mencegah manusia dari melakukan perkara bid’ah yang mungkar itu bererti menghidupkan sunnah Rasul dan mematikan bid’ah serta membuka lebih banyak pintu-pintu kebaikan dan menutup pintu-pintu keburukan. -
Makruh ahli si mati menerima tetamu dengan menjamu makanan kepada mereka dan ianya bid’ah kerana memberikan makan kepada tetamu itu disyarakkan pada masa gembira sahaja. Sebagaimana diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Ibnu Majah dengan Isnad yang sahih dari Jarir bin Abdullah. Beliau berkata, “Kami mengira perhimpunan kepada ahli si mati dan mereka membuat makanan adalah dari perbuatan ratapan kematian”
5-3 Mazhab Hanbali
Jika ahli si mati membuat makanan untuk dijamu kepada orang ramai, maka hukumnya makruh, kerana perbuatan itu menambahkan lagi ke atas musibah mereka dan menambahkan lagi kesibukan ke atas kesibukan mereka yang sedia ada, dan kelakuan itu seperti perbuatan golongan jahiliah.
Di dalam Mazhab Hanbali ada pengecualiannya, iaitu jika terpaksa keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai, maka hukumnya harus. Umpamanya memberi makan kepada orang yang hadir menziarahi mayat, mereka itu datang dari tempat-tempat dan perkampungan yang jauh dan mereka bermalam di rumah keluarga si mati dan terpaksa menerima mereka sebagai tetamu.
5-4 Mazhab Hanafi
Hukumnya makruh keluarga si mati menerima tetamu dengan memberi makan kepada mereka, kerana yang demikian itu disyarakkan hanya di waktu kebahagiaan bukan dalam waktu kesedihan (seperti selepas kematian), ianya adalah bid,ah yang keji, diriwayatkan oleh Imam Ahmad bin Hanbal dan Ibnu Majah dengan Isnad yang sahih dari Jarir bin Abdullah, beliau berkata:
“Kami mengira perhimpunan kepada keluarga si mati dan mereka membuat makanan (untuk dijamu kepada orang yang berhimpun itu) adalah dari ratapan kematian.”

6- Hujah Dari Kitab-Kitab Jawi
Selepas pembentangan pendapat ulamak dari empat mazhab yang berasal dari bahasa Arab, penyusun akan membentang pula pendapat ulama kita dalam mazhab Shafiiy yang ditulis dalam bahasa Melayu lama melalui tulisan jawi. Ulamak besar yang berkemampuan tinggi di dalam agama dan bahasa Arab ini banyak mengarang kitab-kitab agama dalam bahasa Melayu dalam tulisan jawi. Kebanyakan kitab-kitab karangan mereka menjadi rujukan utama kepada penuntut-penuntut di madrasah-madrasah pondok di zaman dahulu dan sekarang.
6-1- Kitab Furuu A1-Masaail
Antara lain yang dijelaskan di dalam kitab ini ialah seperti berikut:
(i) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak amalan yang dibuat oleh orang ramai apa yang dinamakan kaffarah dan wahsyahiaitu berkumpul dan berhimpun serta memberi makan kepada orang ramai pada malam pertama selepas dikebumikan mayat, berhimpun dan memberi makan pada tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan sebagainya.
(ii) Amalan seperti itu tidak sah wasiatnya
Teks atau nas asalnya berbunyi
“Dan demikian lagi yang dikerjakan manusia dengan barang yang dinamakan ia dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh harinya dan dua puluh harinya dan ernpat puluh harinya dan umpama yang demikian itu haramkah? atau makruh? atau harus? (maka dijawabnya) maka adalah segala yang tersebut makruh yang dicela pada syarak, kerana tegah pada syarak. Kata Syeikh Ibnu Hajar, “Tiada sah wasiatnya”
6- 2 Kitab Sabil A1-Muhtadi
Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:
(i) Hukumnya bid’ah dan rnakruh jika dibuat kenduri makan selepas kematian dan dijemput orang ramai supaya memakan makanan itu, sama ada jamuan itu diberi sebelum mayat dikebumikan atau selepas dikebumikan..
(ii) Hukumnya juga makruh dan bid’ah kepada sesiapa yang menerima jemputan itu dan menghadirinya.
Teks asalnya berbunyi:
“Dan makruh lagi bid’ah bagi yang kematian memperbuat makanan yang diserukannya manusia atas memakan dia dahulu daripada menanam dia dan kemudian daripadanya seperti yang telah teradat dan demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala mereka yang diserunya perkenankan seruan”.
6- 3 Kitab Kasyfu A1-Litham
Ringkasan yang difahami dari kitab ini ialah:
(i) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak bila keluarga si mati memberi makan kepada orang ramai sebelum atau selepas dikebumikan mayat.
(ii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak membuat penyembelihan di kubur.
(iii) Hukumnya makruh dan dicela oleh syarak apa yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu berhimpun dan berkumpul dengan memberi makan kepada orang ramai di malam pertama selepas pengebumian mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan sebagainya seperti yang telah dijelaskan.
Teks asalnya berbunyi:
“Barang dikerjakan oleh ahli mayat daripada mempersembahkan makanan dan perhimpunan manusia atas dahulu daripada tanam mayat dan kemudian daripadanya dan menyembelih pada kubur dan demikian lagi yang dikerjakan oleh manusia dengan barang yang dinamakan dengan kaffarah dan daripada dikerjakan wahsyah yakni berhimpun memberi makan awal malam kemudian daripada ditanam mayat dan tujuh hari dan dua puluh hari dan empat puluh hari dan umpamanya yang demikian itu yang dibuat oleh kebanyakan orang itu maka adalah segala yang tersebut itu makruh yang dicela oleh syarak kerana tegah pada syarak.”
6-4 Kitab Bughyatu A1-Tullab.
Ringkasan yang dipetik dari kitab ini antara lain ialah:
(i) Hukumnya sunat kepada jiran keluarga si mati kepada kawan kenalan keluarga si mati, kepada kaum kerabat yang jauhnya membuat dan membawa makanan kepada keluarga si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.
(ii) Hukumnya makruh dan bid’ah jika ahli si mati membuat makanan dan menjemput orang ramai supaya memakannya, sama ada sebelum pengebumian mayat atau selepas pengebumiannya.
(iii) Hukumnya bid’ah yang buruk lagi makruh yang diamalkan oleh orang ramai apa yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu berhimpun dengan memberi makan kepada orang ramai selepas pengebumian mayat, tujuh hari, empat puluh hari dan seumpamanya, seperti yang telah dinyatakan.
(iv) Asa1 sunat memberi makan ialah memberi makan kepada ahli si mati bukan keluarga si mati menjamu makan kepada orang lain, kerana sabda Nabi s.a.w . “Buatlah kamu rnakanan kepada keluarga Ja’far. Sesungguhnya telah datang kepada mereka perkara yang mengharukan mereka”. Sabda Nabi s.a.w itu diucapkan sebaik sahaja sampai berita mengenai kematian Ja’far bin Abu Talib terbunuh dan mati syahid di dalam peperangan Mu`tah.
Teks atau nas asalnya berbunyi, “Dan sunat bagi jiran keluarga mayat dan orang yang kenal dengan keluarganya jikalau bukan jirannya sekalipun dan segala kerabatnya yang jauh membawa makanan kepada orang yang kematian yang mengenyangkan mereka itu pada hari dan malamnya menyungguh-nyungguh akan mereka itu suruh memakan kerana mereka itu terkadang meninggal akan memakan sebab sangat terkejut hati mereka itu dan tiada mengapa sungguh-sungguh menyuruh.”
Dan makruh lagi bid’ah bagi orang yang kematian membuat makanan dan menyeru segala manusia supaya memakannya sama ada dahulu daripada mengebumikan mayat atau kemudian daripadanya seperti yang telah diadatkan kebiasaan manusia.
Demikian lagi makruh lagi bid’ah bagi segala orang yang diserukan dia memperkenankan seruannya.
Dan setengah daripada yang qabihah lagi makruh mengerjakan dia barang yang di kerjakan kebiasaan manusia barang dinamakan dengan kaffarah dan wahsyah dan tujuh hari dan empat puluh dan umpama yang demikian itu.
Ada pun asal sunat menyediakan makanan itu pada barang yang dahulunya sabda Nabi s.a.w. tatkala datang khabar kematian Sayyidina Ja’far bin Abu Talib pada perang Mutah perbuat olehmu
bagi keluarga Ja’far makanan maka sesungguhnya telah datang akan mereka itu barang yang membimbangkan mereka itu.
6- Kitab Bahru A1-Madzi
Maksudnya antara lain seperti:
(i) Keluarga si mati memasak makanan dan menghimpun orang ramai dan menjamu mereka makanan itu tidak ada sedikit pun sandaran riwayat yang boleh di pegang dan diikuti dari Nabi s.a.w dan dari sahabatnya.
(ii) Hukumnya bid’ah dan makruh jika keluarga si mati memasak dan mengumpulkan orang ramai dan menjamu mereka, kerana berpandukan Hadith Jarir bin Abdullah katanya, “Kami rnengira perhimpunan orang ramai kepada keluarga si mati dan mereka (keluarga) membuat makanan selepas pengebumian mayat adalah daripada perbuatan ratapan kematian”.
(iii) Yang sunnah dan sunat ialah kaum kerabat si mati yang jauh, jiran tetangga dan sahabat handainya memasak dan menjamu kepada ahli atau keluarga si mati sekadar mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya.

7 Kesimpulan
7- 1 Adat kebiasaan orang Islam di Nusantara khususnya masyarakat Melayu di tanah air kita menjemput, mengumpul orang ramai dan memberi makan kepada mereka oleh keluarga si mati sama ada mayat sebelum atau selepas dikebumikan adalah bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w dan sahabatnya.
7-. 2 Mengumpul dan menjamu makanan kepada orang ramai menjadi agenda utama kepada ahli si mati apabila suatu kematian berlaku, padahal perbuatan itu adalah bid’ah dan makruh yang perlu dihapuskan oleh semua pihak.
7- 3 Telah bersepakat kata oleh Imam-Imam mazhab empat dan kibar al-ulamak (ulamak agung) tentang makruhnya ahli si mati menghimpun dan menjamu manusia selepas kematian. Yang paling ramai mengatakan demikian ialah ulamak dari mazhab Syafiiy.
7- 4 Hukumnya sunat kepada jiran ahli si mati, kepada kawan kenalan keluarga si mati, kepada kaum kerabat yang jauh membuat dan membawa makanan kepada ahli si mati yang boleh mengenyangkan mereka pada hari dan malamnya. Itulah sunnah yang perlu diikuti oleh semua umat Islam.
7- 5 Hukumnya makruh dicela oleh syarak adat yang diamalkan oleh umat Islam iaitu menghimpun orang ramai dan diberi makan kepada mereka pada malam pertama selepas dikebumikan mayat, tujuh hari, dua puluh hari, empat puluh hari dan seumpamanya. Perbuatan itu dinamakan wahsyah dan kaffarah.
7- 6 Orang ramai berkumpul di sisi keluarga si mati selepas kematian berlaku dan ahli si mati membuat makanan dan menjamu mereka, perbuatan itu bid’ah yang mungkar dan diberi pahala kepada pihak penguasa dan kepada sesiapa yang mencegahnya.

7- 7 Hukumnya bid’ah dan makruh bukan hanya kepada ahli si mati yang memasak, menghimpun dan menjamu makanan kepada orang ramai sahaja, tetapi juga bid`ah makruh itu kena kepada siapa sahaja yang menerima panggilan itu.
7- 8 Mencegah masyarakat dari melakukan bid’ah yang mungkar itu bererti menghidupkan sunnah, manakala membiarkan mereka terus beramal dengannya bererti mematikan sunnah dan sekaligus menyuburkan bid’ah.
7- 9 Jika perbelanjaan makanan yang dijamu itu dari harta yang belum baligh, harta orang mahjur (iaitu orang yang tidak dibenarkan oleh syarak untuk menguruskan hartanya) dan dari harta si mati yang menanggung bebanan hutang, maka hukumnya ialah kongsi bersama antara yang memanggil dengan orang yang memakan pada melakukan yang haram.
7- 1O Hukum makruh keluarga si mati menerima tetamu serta menjamu makanan kepada mereka. Kecuali tetamu itu datang dari tempat yang jauh terpaksa bermalam di rumah ahli si mati itu.

8- Pelbagai Alasan Dan Hujah Ditunjulkan Oleh Barisan Yang Mempertahankan Pusaka Adat Yang Bid’ah Ini. Antara Lain Ialah:
8- l Orang yang membangkitkan isu bid’ah dan makruh ahli si mati menghimpun orang ramai, memasak dan menjamu makanan kepada mereka adalah terdiri dari ulamak kaum muda. Setengahnya pula mengatakan dari pengikut Wahabi.
Kita merasa aneh dan hairan apabila dituduh dan dicop kaum muda ke atas orang yang menyebarkan pendapat-.pendapat kibar ulamak silam yang mulia, termasuk ulamak mujtahid dari empat mazhab. Kita mengatakan bid’ah kerana mereka itu mengisytiharkan bid’ah berdasarkan dalil-dalil yang amat kukuh. Rata-rata ulamak yang mulia itu mengemukakan dua buah Hadith sahih yang telah dibentangkan di permulaan risalah ini sebagai dalil yang utama. Mana lagi ada hujah yang lebih kuat dari Hadith sahih?. Apakah akibatnya jika seorang itu menolak Hadith sahih?. Ulamak yang mengatakan demikian bukan sebarangan, tetapi mereka itu terdiri dari Imam-Imam mazhab dan ulamak agung seperti Imam Syairazi, Imam Nawawi, Ibnu Taimiyyah, Ibnu Qudamah, A1-Sayyid Abu Bakr bin Al-Sayyid Muhammad, A1-Syaikh Daud A1-Fataniy, Al-Shaikh Muhammad A1-Banjariy dan sehingga tidak terbilang ramainya. Kalau dibandingkan ilmu dan kemampuan mereka dengan bijak pandai agama masa kini nescaya didapati jaraknya beribu batu. Siapa sebenarnya yang didakwa sebagai kaum muda?. Adakah mereka yang mempertahankan pendapat ulamak tersebut? Atau kaum muda yang sebenar ialah mereka yang mempertahankan adat istiadat itu dan membelakangkan pendapat ulamak berkenaan tanpa berlandaskan hujah yang benar dan kukuh.
Sesungguhnya ulamak yang menghukumkan bid’ah dan makruh dalam masalah tersebut adalah terdiri dari ulama lampau yang sudah lama meninggal dunia, tetapi yang masih ada di tangan generasi sekarang hanya karya dan kitab-kitab karangan mereka sahaja yang menjadi bahan rujukan dan kajian. Oleh itu tidak masuk akal kalau dilabelkan mereka kaum muda.
Manakala tuduhan yang mengatakan kononnya golongan yang membangkitkan isu ini adalah mereka dari fahaman Wahabi. Tuduhan itu tidak benar malahan keterlaluan, kerana yang mengatakan bid’ah dan makruh ahli si mati menghimpun, membuat dan menjamu makanan kepada orang ramai selepas kematian sama ada sebelum atau selepas dikebumikan ialah Imam-Imam mazhab,bahkan yang paling ramai menghukum begitu ialah ulamak mazhab Syafiiy sendiri. Tiada seorang pun pendapat dari fahaman Wabiy dicatat dalam risalah kecil ini. Kita ingin bertanya mazhab apakah dipegang oleh golongan yang masih sayang kepada adat istiadat itu?. Tidakkah lima buah kitab jawi mazhab Syafiiy yang dibentangkan semuanya mengatakan bid’ah dan makruh?.
8- 2 Apakah salahnya memberi makan oleh si mati kepada orang ramai bersama majlis tahlil dan doa kepada ruh si mati kerana perhimpunan memberi makan bukan menjadi tujuan utama bahkan ianya sebagai sampingan sahaja, matlamat utamanya ialah tahlil dan doa kepada ruh si mati. Kalau tidak diberi makan nescaya orang ramai tidak akan hadir ke majlis tahlil itu.
Jawapannya:
Yang sunnahnya jiran, kaum kerabat yang jauh dan sahabat handai memberi makan kepada ahli si mati. Jika ahli si mati memberi makan kepada orang ramai hukumnya tetap bid’ah dan makruh walaupun ada bersama majlis tahlil dan doa kepada si mati. Mengenai orang ramai tidak hadir ke majlis tahlil kalau tidak diberi makan kepada mereka tidak timbul sama sekali, yang bid’ah itu bid’ahlah ia walau berbagai helah dibuat, kerana matlamat tidak menghalalkan dengan cara.
Jalan yang paling selamat dalam hal ini hendaklah kita ikut pesanan Imam Syafiiy. Katanya, “Aku benci diadakan ma`tam iaitu perhimpunan, walaupun tidak ada tangisan untuk mereka, keraña sesungguhnya perbuatan itu memperbaharui duka cita dan membebankan penyediaan makanan”. Sehubungan dengan itu dijelaskan lagi di dalam Kitab Fiqah Syafiiy katanya, “Apa yang dilakukan oleh orang ramai dengan berkumpul di rumah ahli si mati dan mem6uat makanan (oleh keluarga si mati) bahawa kelakuan itu dari kerja bid’ah yang mungkar...
8- 3 Setengah masyarakat kita pula apabila berlaku kematian, keluarga si mati tidak memasak sendiri makanan itu, tetapi ditugaskan kepada orang lain membeli bahan-bahan makanan dan memasak atau kadang-kadang dimasak di rumah jiran yang berhampiran. Setelah siap dimasak, dibawa makanan itu ke rumah si mati untuk dijamu kepada orang ramai.
Jawapannya:
Perbuatan itu hanya helah semata-mata untuk melarikan diri dari dikatakan ahli si mati yang memasak dan menjamu orang ramai ianya membawa kepada bid’ah dan makruh. Walaupun ahli si mati tidak memasak sendiri, tetapi segala perbelanjaan masih tertanggung ke atasnya dan segala urusan di bawah arahannya, maka amalan itu tidak terlepas dari kerja bid’ah dan makruh. Begitu juga jika dimasak makanan itu di rumah jiran yang berhampiran dan dibawa makanan itu ke rumah ahli si mati untuk dijamu kepada orang ramai. Kenapakah diadakan pelbagai helah muslihat bagi mengharuskan perkara bid’ah itu? Alangkah baiknya jika digunakan perbelanjaan makanan itu ke tempat yang dijamin mendapat pahala dan bukannya di tempat yang bercanggah dengan Hadith Nabi s.a.w.
Bukan semua perkara kebaikan boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya di dalam semua keadaan. Begitulah juga halnya jika memberi makan kepada orang ramai dengan niat ikhlas ianya dari kerja kebajikan dan amal soleh, tetapi jika ahli si mati menghimpun orang ramai, memasak dan menjamu mereka selepas kematian, sama ada sebelum atau selepas dikebumikan mayat, hukumnya bukan lagi sunat bahkan menjadi bid’ah dan makruh yang perlu dielakkan oleh umat Islam.
8-4 Apakah hendak dibuat dengan derma takziah yang diterima dari sahabat handai dan dari orang ramai. Kalau tidak dibelanjakan kepada kenduri memberi makan kepada orang ramai?
Jawapannya:
Sumbangan derma takziah yang diterima dari rakan kenalan, dari jiran tetangga dan dari orang ramai hendaklah dimanfaatkan pada pelbagai tempat yang selamat mendapat ganjaran pahala dan bukan dilaburkan kepada unsur-unsur mungkar, bid,ah dan makruh.
8-5 Ada juga yang mengatakan masalah ini adalah isu yang remeh-temeh, banyak lagi perkara yang penting perlu diselesaikan.
Jawapannya:
Apakah perbelanjaan yang melibatkan beratus malahan beribu ringit kepada yang makruh dan bid’ah itu dari perkara remeh temeh?.Usaha menyelamatkan masyarakat Islam dari terus terjerumus di dalam bid`ah yang dicela lagi tidak menguntungkan itu adalah ianya dari kerja sia-sia?. Bolehkah di katakan seorang mukmin yang bijak sedangkan beliau tidak dapat membezakan antara sunnah dengan bid’ah, antara sunat dengan makruh dan antara mungkar dengan maruf?
Ajaran Islam semuanya penting dan memberatkan timbangan di akhirat nanti atau dengan lain ibarat, diberi ganjaran pahala kepada semua amal soleh kecil dan besar, tidak dikatakan amal soleh segala perbuatan bid’ah, mungkar dan makruh. Oleh itu hendaklah kita memperbanyakkan amal soleh dengan mengikuti ajaran Islam semuanya tanpa menerima separuh menolak separuh yang lain
8- 6 Amalan adat istiadat ini sudah lama bertapak di tanah air kita, tidak sahaja diamalkan oleh orang awam malahanjuga turut dilakukan oleh orang yang bergelar tuan guru, ustaz, pak kiyai dan pak lebai. Kalaulah perkara itu bid’ah dan makruh tentulah tidak di buat oleh mereka itu.
Jawapannya:
Kita tidak boleh mengikut pak lebai dengan membuta tuli tanpa dalil dan hujah yang kuat, kerana pak kiyai dan ustaz tidak boleh ditentukan betul dan salah di atas kelakuan dan amalannya itu, tetapi yang menjadi ukuran ialah Kitab AlIah dan sunnah Nabi. Bila tindakan dan perbuatan mereka menepati dengan kitab Allah dan Sunnah Nabi, menunjukkan mereka berada di dalam kebenaran dan perlu dicontohi oleh semua muslim dan muslimat. Manakala perbuatan mereka itu bercanggah dengan kitab Allah atau bercanggah dengan Sunnah NabiNya, mereka tidak lagi harus diikuti dan dicontohi walau betapa tinggi jawatan yang mereka sandang dan betapa mulia martabat yang mereka duduki.
Apakah tuan-tuan guru dan pak-pak kiyai yang sayangkan adat bid’ah yang makruh itu lebih alim dan lebih faqih dari Jarir bin Abdullah, Imam Nawawi, Ibnu Qudamah, Sayyid Abu Bakar dan lebih luas ilmunya dari Syaikh Daud Fataniy?

9- Cadangan
9- 1 Apabila berlaku suatu kematian di dalam keluarga umat Islam, hendaklah mereka mengelakkan dari terikut-ikut dengan adat kebiasaan yang bid’ah seperti orang ramai berhimpun pada keluarga si mati dan keluarga si mati memasak dan menjamu mereka samada sebelum atau selepas pengkebumian mayat.
9- 2 Hendaklah menjauhkan diri dari melakukan amalan yang dinamakan kaffarah dan wahsyah iaitu orang ramai berhimpun di sisi keluarga si mati dan keluarga si mati menjamu mereka pada malam pertama selepas pengebumian mayat, pada hari ketujuh, hari kedua puluh, hari ke empat puluh dan seumpamanya.
9- 3 Hentikan helah muslihat, takwil dan kias yang tidak sihat dengan pelbagai cara bagi mengekalkan amalan bid’ah selepas kematian.
9- 4 Segala jemputan kenduri makan selepas kematian hendaklah ditolak, kerana ianya bid’ah serta makruh kepada orang yang memakan dan yang menjemput. Sekiranya perbelanjaan makanan itu dari harta mahjur (orang yang ditahan dari mengurus hartanya) atau dari harta yang belum baligh atau dari harta si mati yang menanggung bebanan hutang, bukan lagi makruh malahan wajib ditolak panggilan itu kerana hukumnya sama-sama berkongsi yang haram pula.
9- 5 Diharap mendapat kerjasama umat Islam dari semua pihak, terutama dari bijak pandai Islam bagi menghapuskan unsur-unsur bid`ah itu.
9- 6 Dicadangkan segala derma takziah yang diterima oleh keluarga si mati di infaqkan pada sedekah-sedekah jariah untuk roh si mati, seperti untuk membina masjid, membangunkan sekolah­-sekolah pendidikan Islam, pusat-pusat tahfiz A1-Quran dan sebagainya. Derma takziah juga boleh disumbangkan kepada segala jenis sabilillah. Kata Imam Nawawi telah ijma ulama bahawa sedekah orang hidup untuk orang yang telah mati, memberi faedah dan sampai pahala sedekah itu kepadanya.
9- 7 Dicadangkan kepada masyarakat Islam di semua peringkat agar dapat menukarkan bid’ah dengan al-sunnah dari Nabi dan sahabat, iaitu jiran, kaum kerabat yang jauh dan sahabat handai kepada ahli si mati memberi makan kepada mereka bukan keluarga si mati menjamu makan kepada orang ramai.
9-8 Diharap kepada ikhwan dan akhawat yang masih sayang kepada adat tradisi tersebut supaya meneliti dengan halus dalil-dalil dan hujah yang ditegaskan oleh ulamak muktabar melalui puluhan kitab karangan mereka.
9-9 Diharap setiap muslim dan muslimah menjadi ejen penyebaran dakwah mengenai maklumat ini kepada masyarakat kita dengan kesungguhan. Tugas ini menepati dengan tuntutan dari Hadith sahih yang di riwayat oleh Muslim maksudnya, “Siapa yang menunjukkan kepada kebaikan (khair) dia mendapat pahala seperti orang yang membuatnya”.

10- Penutup
Sukacita diulangkan lagi bahawa ketetapan hukum yang ditegaskan di dalam risalah ini bukan dari pendapat penyusun dan jauh sekali dari mengeluarkan fatwa, tetapi tulisan ini hanya pendedahan hukum dari Imam-Imam mazhab, kibar ulamak dan ulamak mujtahid mengenai bid’ah dan makruh apa yang dilakukan oleh ahli si mati selama ini selepas berlaku kematian.
Semoga dengan usaha yang sedikit ini di harap mendapat keredhaan Allah Taala dan moga-moga bermanfaat pada hari yang tidak berfaedah lagi segala harta dan anak pinak. Astaghfirullah A1-Azim, Wallah Alam.
Penyusun
A1 Faqir Ilallah
Hasan bin Ahmad
(bekas Pensyarah U.M)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...