Separuh Ramadan & Puasa Yang Tercabar
Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
"Tolong saya ustaz, apa formula dan caranya lagi untuk saya boleh berubah, tolong saya ustaz, saya benar-benar ingin berubah dan insaf, walau di bulan Ramadhan ini saya masih melakukan dosa itu"
Demikian luahan hati yang ikhlas beberapa orang pemuda dan pemudi kepada saya melalui medium internet. Pelbagai bentuk lafaznya, namun itulah juga inti maksudnya.
Kesnya apa? ada yang berzina, onani, tonton video lucah, bercerai suami isteri, bergaduh, mengumpat, menipu, mencuri, minum arak, tidak solat dan macam-macam lagi. Berlalu sudah 15 hari Ramadhan, ia masih berlaku dan terus berlaku di kalangan umat Islam kita.
Setelah hampir 15 hari kita berada di bulan mulia Ramadhan, kesan tarbiyahnya makin terasa bagi sesetengah pihak, manakala sebahagian yang lain semakin makin larut dan menjauh dari Allah swt. Sekumpulan lagi pula masih turun naik prestasinya, seperti nilai matawang yang kerapfluctuate.
Beribu-ribu ahli agama dan pendakwah mengingatkan diri dan orang ramai agar mempergandakan ibadah di bulan mulia ini. Di samping menjauhi diri dari perkara yang pasti akan merosakkannya.
SYAHWAT SEKSUAL DI BULAN RAMADHAN
Di samping senarai panjang itu, tidak dilupakan juga bulan ini seharusnya menjadi penguji dan pendidik kepada nafsu syahwat yang asyik ingin membara. Nafsu syahwat yang menjurus kepada syahwat seksual sentiasa cuba melepaskan diri dari kekangan Ramadhan.
Bagi yang sudah berumahtangga, apa yang Allah swt minta untuk diusahakan hanyalah jangan ‘bersama' di siang hari Ramadhan. Ia kelihatan mudah, tapi jangan pelik dan hairan, amat ramai yang gagal. Web dan email saya juga dibanjiri dengan soalan berkaitan hal ini, masing-masing bertanya cara dan kaedah membayar kaffarah dan sebagainya. Memang benar, Allah swt maha mengetahui ramai manusia akan gagal dalam ujian tahan syahwat seks ini, justeru disediakan untuk manusia kaffarah bagi mereka menebus dosa, kesalahan dan kegagalan mereka.
Bagi yang belum berumahtangga, sepatutnya isu berpuasa syahwat seks di siang Ramadhan tidak menjadi hal, kerana mereka belum berumahtangga dan belum merasa nikmat ‘bersama'. Namun, amat ramai si bujang Muslim dan Muslimah yang jatuh tewas, seburuk-buruk ketewasan itu adalah apabila mereka berzina di siang hari Ramadhan. Innalillahi wa inna ilayhi raji'un. Amat buruklah apa yang mereka kerjakan.
Yang lain pula tewas dalam ‘ringan-ringan' syahwat bersama pasangan ‘kekasih', atau juga melalui medium komunikasi elektronik dan internet. Sekumpulan lagi tewas dengan penangan ‘tangan' sendiri. Semuanya buruk, namun menjadi lebih buruk apabila dilakukan di bulan Ramadhan, di siang harinya pula. Kes seperti ini juga tidak kering dari menjengah kotak email dan web saya, memberikan satu gambaran sebenar umat Islam di tanahair tercinta.
Pada bulan yang nafsu syahwat patut dididik dan dipukul kerana degil, malangnya ia berterusan menguasai sang diri. Amat dibimbangi, jika itu berlaku, itu adalah tanda diri akan terus menjadi hamba si nafsu syahwat di bulan-bulan lain yang mana nafsu akan diperkukuh kedudukannya oleh Syaitan yang berlegar.
Allah menyebut melalui hadis qudsi :
Ertinya : Dia meninggalkan makanannya, minumannya dan syahwatnya kerana aku (ALLAH), maka puasa khas untukKU, dan aku akan memberikan ganjaran untuknya.. ( Riwayat Al-Bukhari, no 1795, 2/670 )
Bagaimana mengubati syahwat luar kawalan ini? Tiada jalan mudah wahai anak Adam! Nafsu ini perlu ditekan dan dipaksa untuk tidak dituruti. Siapa yang diharap dapat membantu?
Jawapannya adalah diri sendiri, utuhkan keazaman dalam diri, seperti ketika dirimu ingin sesuatu lalu akan kamu redah dan bijak mencari aqal demi mencapainya.
Namun pelik, mengapa ‘diri' masih ingin kepada yang ditegah dan diharamkan. Lalu timbullah rintihan ‘saya lemah', ‘saya tidak cukup kuat', mereka ingin beritahu saya, bahawa mereka insaf tapi mereka mengaku lemah untuk melawan kehendak nafsu.
Justeru JANGAN SESEKALI mengaku diri lemah terhadap godaan nafsu, sebaliknya nyatakan kepada diri, "Hanya kali ini sahaja aku tewas, tidak di waktu yang lain!."
Akhirnya bertubi-tubi ruangan komen web saya dan email dibanjiri puluhan soalan berkenaannya. :
"Bagaimana ingin jadi kuat dan kalahkan nafsu ini?"
Jawapannya boleh jadi berjela-jela panjangnya, atau pendek mewakili seribu ayat. Biar saya pilih yang pendek, sesudah puas menghuraikan dengan panjang berjela di dalam pelbagai artikel.
"Yakinilah Allah swt dan hari akhirat"
Itulah kunci yang boleh membuka pintu yang diingini.
SYAHWAT LISAN
Berbekalkan hadis qudsi dan sebuah lagi hadis yang cukup popular di bulan ini, dapat kita ketahui syahwat yang mesti dikekang juga adalah syahwat lidah atau lisan.
Nabi bersabda :
Ertinya : Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata buruk, dan perbuatan buruk, maka tiadalah bagi Allah hajat kepada penahanan makanan dan minuman (seseorang yang berpuasa itu)" ( Riwayat Al-Bukhari)
Ibn Al-`Arabi dan al-Qaradawi masing-masing mengulas bahawa pahala puasa akan hancur dengar kesalahan-kesahalahan ini, puasa tidak batal tapi pahalanya batal, hingga jadilah puasanya kosong, lagi gagal menghasilkan taqwa yang menjadi sasaran.
Umar ibn Al-Khattab berkata :
"Puasa bukan hanya menahan diri dari makan dan minum, tetapi juga dari bercakap bohong, tipu dan cakap kosong"
MARAH DAN KEMARAHAN
Lisan yang suka memaki hamun apabila marah, mengeji apabila benci, mengumpat apabila dengki, mengadu domba apabila busuk hati, berbohong untuk menyelamat diri dan mendapati yang dihajati.
Bercerita tentang keaiban orang dan keburukannya mungkin ada suatu kesedapan dan kelazatannya yang tersendiri. Ya, lazat yang diulami oleh nafsu ke dalam diri. Agar manusia tunduk menjadi hamba kepadanya.
Lalu di bulan ini, Nabi mendesak kita untuk mengawalnya, mengekangnya dari terus bermaharajalela dalam diri.
Nabi mengingatkan :-
الصيام جنة فلا يرفث ولا يجهل وإن امرؤ قاتله أو شاتمه فليقل إني صائم مرتين
Ertinya : Puasa itu benteng, justeru jangan seseorang berkata buruk dan melakukan perbuatan orang jahil lagi bodoh, dan sekiranya ada yang mencari gaduh, mencercanya, lalu jawablah : Aku berpuasa, sebanyak dua kali. ( Riwayat Al-Bukhari)
Tahanlah marahmu..
Manusia bila dikuasai marah, kerap berkata keras, memaki lagi menghina. Maka kawal ia sehabis mungkin. Elakkan dari berkata-kata buruk kerananya, ambillah wudhu dan bergeraklah dari tempat kemarahan ke tempat atau perbuatlah urusan lain. Jika kamu sedang berdiri, duduklah, dan seterusnya. Dari Abu Hurayrah r.a:-
Ertinya : Sekiranya ada seorang mencercamu, maka katakanlah : Aku berpuasa, dan jika kamu sedang berdiri, duduklah. ( Riwayat Ibn Khuzaymah, Fath Al-Bari, hlm 126)
Ya, ubah posisimu, agar aqal yang tidak waras kerana marah dapat dibendung dari memudaratkan diri dan orang lain yang berdekatan.
Ada yang marah sehingga membunuh, kemudian menyesal dan tidak menyangka itu perbuatannya. Ya ia seperti arak yang memabukkan, menghilangkan pertimbangan waras aqal dan iman.
Ada yang marah lalu tercerai isterinya, tercedera anaknya, dihina suaminya, tuntutan cerai kedengaran setiap minggu, mendera jiwa suami yang cuba bersabar. Semua itu diinginikah ?
Semua itu mencederakan, bukan hanya di fizikal tetapi lebih jauh dan sakitnya di hati dan minda. Yang marah dan berkata keras itu pula dapat apa?.
Hanya dapat melepaskan marah dan memberitahu diri sedang marah. Itu saja, tapi kesannya amat dalam dan jauh lebih buruk, sukar ditaksirkan. Kesannya buruk bagi yang marah dan yang dimarahi.
Justeru Allah mengarahkan kita menjadi kuat dan mampu mengawal marah, sesuai dengan sabda baginda Nabi s.a.w. Namun ada kemarahan yang dituntut, iaitu dalam menyelamat maruah Islam yang dicabar, maruah diri dan keluarga yang cuba dicarik. Namun itu tidak boleh dilaksana secara semberono. Ia punyai kaedah dan peraturan.
Lihat bagaimana Nabi melarang seorang hakim memutuskan keputusan dalam keadaan marah, kerana marah menghilangkan kewarasan pertimbangan aqal. Ia cenderung mendorong ke arah melakukan kezaliman. Justeru Ramadhan bulan untuk mengikat dan mengawal kemarahan.
Malang pula, kelihatan di bulan berpuasa ini, jumlah yang marah semakin ramai berbanding di bulan lain, alasannya kerana perut kosong, emosi jadi lebih nipis.
Justeru adakah di bulan lain, emosi kita dikawal oleh perut yang kenyang? Janganlah percaya dengan alasan itu. Ia hanya mainan Syaitan. Perut kenyang sama sekali bukan merupakan sumber ‘kawalan diri' yang akan berkekalan, yang patut menjadi sumber kawalan marah adalah iman dan taqwa, yang ditawarkan secara habis-habisan di bulan Ramadhan ini. Bertindak cepatlah mengambilnya dan jangan lagi perut dijadikan alasan.
DOSA DALAM DIRI
Namun walau dicuba sedaya upaya untuk tidak terjebak dengan dosa, sebagai manusia kita akan gagal juga. Ada dosa yang berpunca dari kita sendiri, ada juga yang didorong oleh faktor luaran. 'Zero dosa ' bukanlah target kita, ia di luar kemampuan. Target kita adalah ‘minima dosa kecil, zero dosa besar'. Kerana kita manusia dan bukan Malaikat.
Akan tetapi jangan jadikan sifat ‘kemanusiaan' kita sebagai excuse untuk berterusan melakukan dosa, atau selesa dalam dosa. Kelak nanti kita akan hilang kemanusiaan kerana dosa itu, hingga bertukar kepada ‘sifat kebinatangan' atau lebih teruk dari binatang lagi.
Nabi menyebut :
Ertinya : Demi nyawaku di tanganNya, sekiranya kamu tiada dosa, maka Allah akan hapuskan kamu dan didatangkan satu kaum yang berdosa, lalu mereka meminta keampunan Allah, dan mereka diampun oleh Allah ( Riwayat Muslim)
Hadis di atas memberi maklum, kita tidak akan mampu mencapai ‘zero dosa', dan yang diinginkan oleh Allah bagi merkea yang berdosa, sama ada kecil atau besar, adalah taubat.Sama ada dosanya dari syahwat seksual dan lisan yang tidak terkawal atau lainnya. Pintu peluang untuk bertaubat masih terbuka, pintalah keampunan Allah, gandakan amal soleh agar ia dapat memadam kekotoran yang ditinggalkan oleh dosa.
Saya teringat kes pendakwah dan artis nasyid terkenal, Sdr Ust Akhil Hayy. Kita bersimpati dengan apa yang menimpa rumah tangga lamanya namun kekeruhan dari isu tersebut menjadikan dirinya dicaci dan dihina sebegitu teruk. Lihat saja koleksi ceramah dan nasyidnya di youtube, hampir tidak lekang dari kutukan dan cercaan.Demikian juga cercaan di pelbagai forum-forum di internet.
Semua cercaan ini adalah salah sama sekali, tanpa mengira siapa yang menjadi penyebab awal kepada penceraian itu, menjaja isu ini serta menafikan keseluruhan usaha baik yang telah, pernah dan masih disumbangkan untuk kebaikan Islam, adalah tidak wajar sama sekali.
Dengan terbinanya rumah tangga beliau yang baru, secara peribadi berdoa dan berharap agar tiada lagi aksi kurang sihat dan kurang wajar dilakonkan oleh seorang muslimah bertudung yang berimej Islam , dipertontonkan kepada umum, aksi yang kerap dilihat wujud di dalam filem-filem lucu dan lawak beberapa tahun lalu. Saya doakan beliau mampu mengubahnya dan perolehi keluarga dan rumahtangga yang diberkati Allah.
Bagi pihak yang terselamat dari ujian sedemikian rupa atau dari sebarang dosa besar khususnya, janganlah meremehkan sesiapa yang pernah jatuh ke dalamnya. Hulurkanlah bantuan, bukan cercaan. Galakkan mereka terus mempergandakan amalan soleh, bukan membantutkan mereka dari menyakini rahmat Allah.
"orang macam kamu ini memang hina dan tak layak dimaaf oleh Allah lagi"
"tak payahlah lagi kamu ajar orang lain buat baik, kamu tu sendiri pun teruk"
Janganlah sesekali dilontarkan kata sedemikian, ia hanya menjauhkan dia dari keinginan bertaubat dan penyesalan. Kelak nanti yang mengeji mendapat saham dosa juga kerana menghina
Video : Rakaman kuliah ringkas Ramadhan saya di Leicester, UK pada 30 Ogos 09 yang lalu
Semoga diri ini sentiasa ingat..Yakini Allah dan hari Akhirat, ayat yang sentiasa diulang kerap di dalam kitab Al-Quran.
Moga-moga kita semua beroleh taqwa sempena Ramadhan ini yang mampu membantu kita untuk meraih redha Allah swt, diganjari SyurgaNya dan segala nikmatnya.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
0 comments:
Post a Comment