“Di antara perkara-perkara bid‘ah yang mungkarah (yang diingkari) adalah apa yang berlaku pada zaman ini. Iaitu dengan diadakan azan yang kedua (yang dilaungkan lebih awal) lebih kurang 1/3 jam (20 minit) sebelum Subuh pada bulan Ramadan dan dimatikan lampu-lampu yang dijadikan sebagai petanda alamat diharamkan makan dan minum bagi sesiapa yang akan berpuasa, dengan dakwaan bahawa apa yang dilakukan itu adalah semata-mata untuk bersikap ihtiyaath (berwaspada/berhati-hati) di dalam urusan ibadat dan tiada yang mengetahui yang demikian itu kecuali segelintir bilangan manusia, malah sungguh mereka meneruskan lebih dari itu sehingga mereka menetapkan agar tidak dilaungkan azan kecuali setelah terbenamnya matahari pada paras yang secukupnya (bukan setakat terbenam sepenuhnya) - demikian dakwa mereka - maka mereka telah melewatkan waktu berbuka dan menyegerakan waktu berhenti sahur dan sekaligus mencanggahi as-Sunnah, sebab itulah sedikit sekali kebaikan mereka dan berleluasanya keburukan pada diri mereka, WalLahul Musta‘an (Hanya Allah tempat memohon pertolongan).”
Demikian tegas beliau, seorang ‘alim terkemuka dan terbilang, sehinggakan ‘ulama umumnya menyatakan bila diungkapkan gelaran “al-Hafiz” tanpa menyebutkan namanya, yang terlintas adalah Ibn Hajar al-‘Asqalaniy رحمه الله, sedangkan yang lainnya perlu disebutkan nama/gelaran lainnya misalnya al-Hafiz as-Suyuti, al-Hafiz as-Subki dan sebagainya. Yang demikian kerana keluasan dan mendalam serta mantapnya ilmu beliau di dalam bidang hadis dan periwayatannya.Dijelaskan demikian agar kita tidak dikelirukan oleh kesimpulan sebahagian pihak, yang tentunya tidak mencapai ilmu setaraf al-Hafiz رحمه الله, yang menyimpulkan dengan pandai-pandai daripada riwayat berikut ini, untuk menyokong adanya Imsak:Zaid bin Tsabit رضي الله عنه meriwayatkan:
“Suatu ketika kami bersahur bersama Nabi صلى الله عليه وسلم kemudian Nabi صلى الله عليه وسلم bangun untuk solat. Tanya ku (Anas): Berapa lamakah jangka masa di antara azan dan sahur itu? Jawab beliau (Zaid): Anggaran (bacaan) 50 ayat.” [Riwayat al-Bukhariy, 4/118 dan Muslim #1097]
Ketika membuat ulasan terhadap riwayat ini, al-Hafiz رحمه الله tidak menyebutkan apa-apa tentang “wujudnya Imsak”, maka bukan itu yang sepatutnya difahami dan disimpulkan daripadanya. Yang ada adalah ulasan beliau ini (terjemahan):
“Daripada adat orang Arab ialah menetapkan anggaran waktu dengan amalan perbuatan mereka; kadar perahan susu kambing, kadar menyembelih/menusuk unta...Maka Zaid رضي الله عنه di dalam hadis ini menyebutkan kadar waktunya dengan bacaan ayat al-Quran, suatu isyarat bahawa zaman itu adalah zaman yang dipenuhi ibadah dan dalam hal ini, amalan mereka adalah tilawah dan tadabbur!”
Bilamana beliau tidak mengambil daripada riwayat ini sebagai “wujudnya Imsak”, malah beliau telah jelaskan dalam kitab yang sama bahawa Imsak itu adalah bid‘ah, pihak yang mempertahankan amalan Imsak, berhenti makan dan minum 10 hingga 20 minit sebelum Azan Subuh, tidak selayaknya diikuti kerana bercanggah dengan asal ajaran Rasulullah dan mereka tiada apa-apa dalil dan hujjah yang bernas untuk menetapkan Imsak.Oleh itu semoga jelas bahawa ibu anda boleh memakan ubatnya, malah makan minum lainnya walaupun telah masuk waktu Imsak, bukan kerana darurat bahkan kerana mengikuti ajaran Islam yang asal tuntunan Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Sebaliknya, sikap “baik” yang dikatakan berwaspada dengan mengambil kira penetapan Imsak adalah sebenarnya suatu keburukan yang dibenci ‘ulama Islam yang benar-benar pewaris ajaran Nabi , sebab Rasulullah صلى الله عليه وسلم telah menjelaskan:
“Tiga perkara daripada akhlaq kenabian: menyegerakan buka puasa, melambatkan sahur dan meletakkan tangan kanan atas tangan kiri di dalam solat”
Sabda baginda صلى الله عليه وسلم lainnya:
“Ummat ku masih tetap dengan Sunnah ku selagi mereka tidak menunggu (munculnya) bintang-bintang untuk berbuka puasa mereka”
Inilah riwayatnya yang al-Hafiz رحمه الله maksudkan bila beliau katakan ketika menjelaskan bid‘ah Imsak,
“maka mereka telah melewatkan waktu berbuka dan menyegerakan waktu berhenti sahur dan sekaligus mencanggahi as-Sunnah, sebab itulah sedikit sekali kebaikan mereka dan berleluasanya keburukan pada diri mereka, WalLahul Musta‘an.”
Penjelasan selanjutnya menerangkan bahawa tiada salahnya untuk makan dan minum ketika berkumandangnya azan.2. Definasi Imsak Dari Sudut SyarakSegolongan ‘ulama mengertikan Ibadah Puasa sebagai: al-Imsak ‘an al-muftiraat min tulu ‘ al-fajri ila ghuruub asy-syams ma‘a an-niyyah.Dengan mengembalikan kepada istilah hukum fiqh ini, kebanyakan ‘ulama mengajarkan bahawa waktu mula berhenti dan menahan diri daripada “al-muftiraat”, segala yang boleh membatalkan puasa (makan, minum dan syahwat), adalah dengan masuknya waktu fajar. Dalam erti kata lain, ketika Azan Subuh. Namun menjadi perselisihan mereka tentang maksud “nyata masuk waktu Fajar”. Walaubagaimanapun perselisihan mereka, yang penting dikembalikan perkara ini kepada petunjuk as-Sunnah yang sahih dan pemahaman para Sahabat terhadapnya dan kita akan merasa tenang dengan mengikuti pemahaman Sahabat.3. Bersahur Sehingga Terangnya FajarKata al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy رحمه الله di dalam Fath al-Bari 4/162-163 (ketika mensyarahkan Hadis no: 1918 dan 1919) - terjemahannya:
“Segolongan daripada Sahabat – dan ini juga merupakan pendapat al-A‘masy رحمه الله daripada kalangan at-Tabi‘ien, begitu juga teman beliau Abu Bakar bin ‘Iyaasy رحمه الله – berpendapat bahawasanya diharuskan untuk terus bersahur sehingga jelas kelihatan Fajar (terangnya waktu petanda Subuh).
i. Sa‘ied bin Mansur رحمه الله meriwayatkan (dengan sanadnya – diringkaskan penterjemah) daripada Hudzaifah رضي الله عنه katanya: “Kami telah bersahur bersama Rasulullah, ketika itu, demi Allah dapat dikira waktu siang cuma matahari belum timbul.” Diriwayatkan juga oleh at-Tahawiy رحمه الله dengan jalan riwayat lain daripada ‘Asim رضي الله عنه . Ibn Abie Syaibah dan ‘Abdur Razzaaq رحمه الله telah meriwayatkannya juga daripada Hudzaifah رضي الله عنه dengan jalan-jalan periwayatan yang sahih.
ii. Ibn Abie Syaibah dan Sa‘ied bin Mansur serta Ibn al-Mundzir رحمه الله juga telah meriwayatkan dengan jalan-jalan periwayatan yang banyak daripada Abu Bakar رضي الله عنه "bahawasanya beliau memerintahkan agar ditutup pintu supaya tidak kelihatan waktu Fajar.”
iii. Ibnul Mundzir رحمه الله juga meriwayatkan dengan Isnad (rangkaian periwayatan yang sahih daripada ‘Aliy رضي الله عنه “Bahawasanya beliau telah menunaikan solat Subuh kemudian beliau menyatakan: Sekarang inilah waktunya jelas antara benang putih dan benang hitam”Kata Ibnul Mundzir رحمه الله: Sebahagian mereka (Sahabat) berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan terangnya waktu siang dan gelapnya malam ialah ketikamana cahaya putih (terang) mula nampak meluas di jalan-jalan dan lorong-lorong serta (atap-atap) rumah-rumah.
iv. Beliau (Ibnul Mundzir) juga meriwayatkan daripada jalan periwayatan Wakie‘ daripada al-A‘masy bahawasanya beliau menegaskan: “Kalaulah tidak kerana (manusia suka) ikut syahwat (hawa nafsunya), tentu aku telah solat Subuh dahulu kemudian baru aku bersahur.”
Kesimpulan:Kesimpulannya yang dapat difahami, bahawa pemahaman sebahagian Sahabat, malah Sahabat utama seperti Abu Bakar, ‘Umar (akan disebutkan kelak) dan ‘Aliy رضي الله عنهم mengenai saat berhenti bersahur adalah agak lewat, iaitu lebih kurang setengah jam selepas waktu azan Subuh dan cahaya terang mula menerangi jalan-jalan dan rumah-rumah selama matahari belum terbit dan belum isfirar (pancaran kuning kejinggaannya memancar di ufuk timur).Setelah mengemukakan riwayat ini semua, al-Hafiz رحمه الله mengajarkan sikap yang betul kepada kita dengan membawakan kata-kata Imam Ishaq bin Rahawaih رحمه الله yang bermaksud:
“Aku berpendapat agar berhenti makan ketika azan dan aku juga akur dengan pendapat sebahagian Sahabat yang memahamkan adanya kelonggaran dalam hal ini dan aku tidak mencelanya.”
Iaitu ia boleh dikatakan suatu kelonggaran apatah lagi bagi orang yang perlu memakan ubat, untuk memakannya menurut kadar keperluannya dan tiada salahnya.Begitu pula adakalanya ketika bersahur beramai-ramai, makan satu hidangan sedulang misalnya, bilamana azan berkumandang tetapi masih ada makanan yang belum dapat dihabiskan,
Jelasnya, diperbolehkan untuk memakannya sehingga habis agar tidak berlaku pembaziran dan masih menurut ajaran tuntunan para Sahabat dan tidak dapat dikatakan haram memakannya, biarpun ada pendapat sebahagian orang alim yang mangajarkan supaya dimuntahkan apa yang ada di dalam mulut ketika azan, sebab Imam Ishaq رحمه الله juga tidak bersikap demikian menghormati ajaran sebilangan Sahabat dan at-Tabi‘ien.Riwayat berikut pula lebih mententeramkan jiwa bahawa sebenarnya ia adalah ajaran Rasulullah صلى الله عليه وسلم.
4. Riwayat-riwayat sahih tersebut adalah seperti berikut:
i. Sabda Nabi صلى الله عليه وسلم: “Jika seseorang di antara kamu mendengar azan, sedang di tangannya ada wadah berisi minuman, maka janganlah ia meletakkannya sehinggalah ia memenuhi hajatnya (untuk minum) dari wadah tersebut.”
ii. “Solat sudah pun diqamatkan sedangkan ‘Umar masih memegang wadah minumannya, lalu ia bertanya: Apakah boleh saya minumnya wahai Rasulullah? Sabda baginda menjawabnya: Ya. Maka ‘Umar pun meminumnya.”Semoga dengan segala penjelas itu tadi, menjadi jelas kepada kita persoalan Imsak yang merupakan suatu bid‘ah yang diingkari, begitu juga tentang adanya kelonggaran berkenaan saat berhenti bersahur,
Wallahu a‘lam.Kajian dan Susunan: Ustadz Abu Mazaaya
0 comments:
Post a Comment