Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Sunday, August 21, 2011



JAUHI SYIRIK EMAS & PERAK. NIATLAH UNTUK TEGAKKAN MATAWANG SUNNAH







Bismillahirrahmanirrahim...

Assalamualaikum wbt...


Kami mulakan dengan sepotong Hadis Nabi SAW yang sangat popular pada hari ini :

"Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia. Maka simpanlah dinar dan dirham (untuk digunakan)" - Hadis dari Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal

Hadis ini semakin disebut-sebut di kalangan masyarakat sekeliling, baik yang muda mahu pun berusia, oleh golongan berserban mahu pun bertali leher, sama ada dari mulut seorang ustaz atau dari lidah seorang berminda sekular. Wah, semakin ramai umat Islam mula menyampaikan pesanan Baginda SAW.. Apakah ini tanda-tanda awal kebangkitan umat Islam akhir zaman ? Benarkah begitu ?

Bila diamati bukan semua yang menyebut-nyebut Hadis berkenaan berniat untuk menyeru kepada kebangkitan umat Islam secara menyeluruh. Sangat menyedihkan kerana majoritinya adalah manusia yang sebenarnya jarang (atau mungkin tak pernah) berpesan-pesan dan berdakwah tentang agama Islam, tetapi tiba-tiba menjadi orang yang paling kerap membicarakan hadis tersebut kepada hampir semua rakan dan temannya. Jika bukan kerana agama ALLAH, apakah niat golongan sebegini sebenarnya ?

Mungkin saudara sendiri sudah dapat mengagak jawapannya - KEBANYAKANnya kerana mereka menjual dinar & dirham (emas & perak)..

Fenomena Emas dan Perak Hari Ini

Sudah tentu majoriti dari kita semua di sini telah sedar tentang meningkatnya perhatian manusia hari ini terhadap emas dan perak. Betapa hebatnya penangan logam berharga ini apabila semakin banyak pengeluar emas & perak di pasaran sekarang, begitu juga semakin ramainya rakyat marhaen yang mula menyimpan emas & perak. Apa agaknya yang menyebabkan fenomena emas & perak ini semakin menular di kalangan masyarakat waktu ini ? Sebab yang paling utama mendorong situasi ini adalah kejatuhan nilai matawang sedunia yang diramalkan berlaku tak lama lagi sehingga wang kertas tidak lagi laku nilainya hatta 'seposen' pun.
Maka berbondong-bondonglah umat manusia mengejar emas & perak untuk dijadikan simpanan bagi melindungi harta kekayaan yang mereka bina dari wang kertas selama ini. Melihat kepada trend permintaan yang tinggi terhadap logam berharga ini maka semakin bercambahlah pengeluar emas & perak menawarkan stok bekalan di samping mengaut keuntungan hasil jual beli emas & perak. Begitu jugalah membiaknya ejen penjual dan pengedar yang mengejar komisyen lumayan setiap transaksi jual beli emas & perak yang berjaya dilakukan.

Sekilas pandang fenomena ini adalah sesuatu yang positif kerana umat Islam khasnya telah mula sedar betapa emas & perak adalah ukuran kekayaan sebenar bukannya wang kertas fiat ciptaan Yahudi Zionis yang susutnilainya semakin parah. Secara tidak langsung kesedaran ini telah menjadi titik tolak kepada semakin ramai umat Islam mula menyimpan emas & perak. Maka tersenyum lebarlah para ejen pengedar dan penjual emas & perak menikmati komisyen mereka yang boleh mencecah 4-5 angka sebulan. Malah ada yang sudah bergelar jutawan dalam tempoh singkat dengan bermodalkan fakta tentang zaman kejatuhan matawang kertas sedunia yang semakin hampir di samping menjadikan Hadis Nabi SAW di atas sebagai penguat hujah mereka ketika memancing pembeli.

Namun di sebalik kesedaran umat Islam kembali kepada sunnah emas & perak dan kejayaan pengedar/penjual meraih pendapatan lumayan hasil dari jual beli emas & perak, terselit KEMUNGKARAN yang semakin berleluasa. Adakah saudara sekalian sedar dan faham apa yang kami maksudkan ? Atau kalian hanya nampak fenomena emas & perak ini dari sudut kebaikan semata-mata ? Jika ada yang masih belum faham KEMUNGKARAN yang kami maksudkan, JOM! ikut kami melihat fenomena ini dengan mata hati yang tunduk kepada syariat Islam bukan dari kaca mata zahir yang cenderung terpesona kepada kekayaan dunia semata-mata.

Syirik Emas & Perak ?

Perihal syirik sangat luas, kami akan beri sedikit penerangan tentang syirik secara ringkas yang berkaitan dengan skop artikel ini saja. Syirik secara umumnya bermaksud perbuatan menyekutukan ALLAH sama ada dalam bentuk perkataan, pegangan, perbuatan atau iktikad. Ini jelas menunjukkan terdapat banyak bentuk dan cabang syirik bukan hanya menyembah selain dari ALLAH semata-mata. Dalam konteks fenomena emas & perak pada hari ini, terdapat dua bentuk syirik yang sangat ketara berlaku di kalangan 

PENJUAL/PENGEDAR dan PEMBELI/PENYIMPAN iaitu :
Kepercayaan bahawa emas & perak mampu menyelamatkan manusia dari bencana ekonomi dan matawang dunia
Menghalalkan sesuatu yang jelas telah diharamkan oleh ALLAH SWT iaitu riba

Syirik bentuk yang pertama di atas kerap berlaku sama ada secara sedar atau tidak oleh si pelaku. Bagi kebanyakan PEMBELI/PENYIMPAN emas & perak, tujuan utama mereka membeli dan menyimpan logam tersebut adalah kerana takut menjadi miskin sekelip mata akibat dari bencana ekonomi dan kejatuhan matawang kertas pada masa akan datang. Mereka menganggap emas & perak sebagai penyelamat dan pelindung kepada harta kekayaan mereka.

Syirik kedua pula sering berlaku di kalangan PENJUAL/PENGEDAR dan PEMBELI/PENYIMPAN. Ramai penjual/pengedar menggalakkan pelanggannya membuat pinjaman bank yang jelas ada unsur riba yang diharam oleh ALLAH semata-mata untuk membeli emas & perak dengan pelbagai alasan sama ada sebagai persediaan menghadapi 'kiamat ekonomi' atau sebagai pelaburan yang akan memberi pulangan lumayan dalam bentuk wang kertas dalam jangka masa panjang. Kebanyakan Pembeli/Penyimpan mudah terpengaruh dan terlibat dengan pinjaman riba dengan niat untuk memanipulasi emas & perak ke atas kelemahan sistem matawang kertas demi mengaut keuntungan semata-mata.
Sesungguhnya tiada suatu pun dapat menyelamatkan kita dari sebarang bencana dan kesusahan melainkan ALLAH Yang Maha Kuasa. Jika kita ada berkilo-kilo emas & perak sekali pun, belum tentu kita akan terselamat dari bencana ekonomi jika tidak diizin ALLAH SWT. Bahkan ALLAH boleh saja mengirimkan seorang perompak pada bila-bila masa untuk melesapkan simpanan berjuta kita itu. Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa, makhluk tiada kuasa tanpa izin dariNYA.

Sedarlah bahawa apa saja yang berkait dengan matawang kertas hari ini adalah riba kerana ia dicipta oleh musuh Islam (Yahudi Zionis) melalui cara penipuan. Apatah lagi pinjaman bank yang jelas berunsurkan penindasan dan perhambaan. Jauhilah dosa besar riba, kerana ALLAH dan Rasul mengisytiharkan perang kepada para pelaku riba.

“Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orung-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba.) maka ketahuilah bahwa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pakok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.”(Al-Baqarah: 278-279)

Telah jelas ALLAH mengharamkan apa jua bentuk riba, jika kita masih sengaja mengamalkannya maka sangat jelas syirik kepada perintah ALLAH SWT. Jangan hanya kerana mengejar kesenangan duniawi menghalang sensitiviti mata hati kita dari mengesan kesyirikan sama ada dalam bentuk halus atau yang nyata seperti yang diterangkan di atas.

Jagalah Niat Kita Dalam Berjual Beli dan Menyimpan Emas

Realitinya masih terlalu ramai saudara Islam kita yang tidak memahami hakikat situasi dunia akhir zaman hari ini, terutama perancangan musuh-musuh Islam mencipta sistem ekonomi dan matawang yang penuh muslihat riba di dalamnya. 'Kiamat ekonomi' yang bakal berlaku tidak boleh dipandang melalui satu sisi iaitu keselamatan harta kekayaan duniawi semata-mata. Sebaliknya umat Islam yang mengkaji ilmu akhir zaman pasti akan faham betapa penting dan gentingnya untuk kita menyelamatkan IMAN dan AQIDAH kita sebagai umat Islam pada hari ini.

Hakikat bencana ekonomi yang berlaku hari ini adalah disebabkan umat manusia telah lama meninggalkan matawang sunnah terutama Dinar dan Dirham. Untuk memulihkan kembali kehancuran yang sedang dicipta oleh puak Kuffar ini adalah dengan menegakkan kembali matawang sunnah menggantikan wang kertas riba hari ini. Ini bermaksud menggunakan kembali emas & perak sepenuhnya tanpa disandarkan kepada kepentingan wang kertas riba. Maka niat kita sebagai Pengedar, Penjual, Pembeli atau Penyimpan emas & perak mesti 100% selaras dengan ajaran Al Quran dan Hadis yang menghalalkan wang sunnah dan mengharamkan riba.

Berapa ramai dari kita yang berjual beli dan menyimpan emas & perak dengan niat untuk menegakkan kembali matawang sunnah ?

Kerana itu ramai Pengedar, Penjual, Pembeli atau Penyimpan emas & perak hanya mengutamakan kepentingan diri dan mengejar kesenangan dunia semata-mata hingga melakukan perkara-perkara yang jelas dilarang oleh syariat Islam. Tidak kira sama ada kita adalah Pengedar, Penjual, Pembeli atau Penyimpan emas & perak, berpegang teguhlah kepada Aqidah Islamiyah yang meletakkan hak dan syariat ALLAH SWT di tempat tertinggi mengatasi keinginan dan kepentingan duniawi.

Tegakkanlah Matawang Sunnah, Hapuskanlah Matawang Riba

Jika kita seorang Pengedar/Penjual emas & perak, utamakanlah niat untuk membantu seberapa ramai umat Islam memiliki emas & perak sebagai langkah awal memartabatkan semula matawang sunnah. Jangan berniat mengejar keuntungan semata-mata hingga menggalakkan pelanggan yang tidak berkemampuan terlibat dengan dosa riba dari pinjaman bank.

Sebagai Pembeli/Penyimpan pula, niatkan pembelian emas & perak adalah untuk menukarkan wang kertas riba yang dimiliki manakala emas & perak yang disimpan itu bertujuan untuk digunakan sebagai matawang sunnah kelak. Jangan sesekali berniat menyimpan emas & perak sebagai pelaburan yang bertujuan mendapatkan keuntungan jangka masa panjang apabila ditukar semula ke dalam bentuk wang kertas riba.

Jika kita masih tidak berkemampuan memiliki emas & perak, jangan pernah berhajat untuk membuat pinjaman bank yang hanya akan menjebakkan diri kita ke kancah dosa tak terampun riba. Sebaliknya ketahuilah matawang sunnah bukan sekadar dinar & dirham kerana komoditi seperti beras, garam dan gula juga boleh disimpan untuk dijadikan sebagai matawang sunnah kelak.

Kesimpulan

matlamat artikel/note ini ditulis adalah untuk berkongsi pandangan kami terhadap 'niat songsang' kebanyakan mereka yang terlibat dengan jual beli dan simpanan emas sehingga boleh mengakibatkan kesyirikan kepada ALLAH SWT. Juga pendapat kami tentang kiamat ekonomi dan matawang dunia yang bakal berlaku nanti adalah disebabkan sistem ciptaan Kuffar yang sengaja menghapuskan keberkatan matawang sunnah dan menggantikannya dengan keharaman matawang riba. Kami juga menggesa umat Islam hari ini agar sedar hanya terdapat satu penyelesaian kepada 'kiamat ekonomi' yang dapat meyelamatkan kita di dunia dan di akhirat iaitu memartabatkan semula matawang sunnah serta meninggalkan sistem wang kertas riba.

Diharap nukilan ini dapat dikongsi dengan ramai saudara kita yang masih bergelumang dalam dosa riba agar mereka sedar dan kembali menegakkan semula matawang sunnah. Semoga mereka menjadikan emas & perak sebagai senjata memerangi riba bukannya menjadi hamba kepada matawang riba. Semoga hujah dan sembang si Pengedar/Penjual emas & perak selepas ini tidak lagi berkisar tentang untung rugi dan kekayaan dari skop ilmu ekonomi & kewangan sekular semata-mata, tapi berpandukan peringatan ALLAH dan Rasul tentang bahaya riba dan kewajipan menegakkan kembali matawang sunnah. Semoga niat tindakan si Pembeli/Penyimpan emas & perak memilih logam berharga itu bukan untuk mengumpul harta dunia semata tapi kerana takutkan dosa riba dan cintakan wang sunnah. InsyaALLAH..

Berbalik kepada Hadis di permulaan bicara, semoga selepas ini Pengedar dan Penjual emas & perak tidak hanya memperalatkan sabda tersebut dengan tujuan meraih untung semata-mata, tapi turut berpesan-pesan dan menyampaikan firman ALLAH dan sunnah Rasul yang mengamarankan tentang azab seksa yang menanti pelaku riba.


Wallahua'lam...

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...