Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Wednesday, August 3, 2011

Kenapa Perlu Berpuasa???


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh buat sekalian pembaca WADi. Kali ini saya sambung entri berkaitan syiam atau puasa sempena bulan mulia Ramadhan Al-Mubarak. Hari ini hari pertama kita berpuasa yakni pada 1 Ramadhan 1432 Hijrah. Kenapa kita perlu berpuasa?. Persoalan seperti ini adalah persoalan yang biasa, lebih-lebih lagi kepada mereka yang baru berpuasa untuk pertama kalinya seperti adik-adik yang sudah baligh mahupun mereka yang baru memeluk Islam.

Dalam entri yang lepas telah sy coretkan akan kewajiban puasa itu kepada sekalian Muslim. InsyaAllah, kali ini saya cuba untuk menyenaraikan faedah dan hikmah kita berpuasa mengikut kemampuan saya. Antara hikmah atau faedah berpuasa ialah :

1. Meningkatkan Ketakwaan Kepada Allah s.w.t
Ketakwaan adalah sesuatu yang menentukan kejayaan kita di akhirat kelak. Selain daripada ketaatan kita menjalankan ibadah fardhu yang lain seperti solat, zakat atau haji, puasa juga adalah merupakan suatu kemestian bagi kita , Umat Islam. Allah s.w.t menyebut dalam firmanNya :

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah : 183)

puasa adalah suatu jalan untuk kita menahan diri daripada godaan dan pujukan nafsu yang membuta lagi menyesatkan. Kerana itulah dalam Islam puasa bukan hanya menahan diri dari lapar dan dahaga, malah perkara-perkara yang membatalkan puasa itu sendiri.

2. Melatih Diri Bersabar
Allah menjadikan puasa sebagai medah tarbiah dan ujian buat hambaNya. Dalam bulan ini kesabaran kita akan teruji dengan bermacam-macam ujian. Ujian utama itu adalah menahan lapar dan dahaga. Ujian lain adalah ujian mengawal nafsu dalam diri dan ujian untuk kita beribadah, sama ada lebih baik ibadah, sama seperti bulan lain atau lebih teruk daripada sebelum ramadhan, nauzubillah. Sabda Rasulullah s.a.w :

"Puasa itu adalah sebahagian daripada sabar" (Hadith Hasan riwayat at-Tirmidzi)

Allah juga telah berfirman dalam surah Az-Zumar ayat 10 yang bermaksud :

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira"

Dalam puasa, tahap kesabaran itu terbahagi kepada 3 cabang :

Pertama adalah sabar dalam mengerjakan ketaan dan ibadah. Sabar ini bermaksud kita bersabar dalammelaksanakan perintah Allah s.w.t seperti solat. Sudahlah diuji dengan lapar dan dahaga, kita sabar pula dengan solat, kita berzikir, membaca Al-Quran dan melakukan amalan sunat yang lainnnya. Kesabaran dalam ibadah adalah permulaan untuk membentuk jiwa dan rohani yang kuat dan mantap. Kedua ialah sabar dalam melakukan maksiat. Ia bermaksud kita sedaya upaya menahan diri daripada melakukan maksiat ketika berpuasa dengan tujuan nafsu yang degil itu dapat di didik dengan baik. Kerana itulah Islam menggalakkan puasa, kerana puasa dapat mendidik nafsu. Sabar yang ketiga ialah sabar dalam ujian seperti sabar dengan kesusahan sepanjang ramadhan. Jika kebiasaan dapat tidur nyenyak dan cukup, tibanya ramadhan perlu bangun sahur di awal pagi, sebelum subuh pula. Kebiasaannya di siang hari ada sarapan, makan tengah hari dan minum, di bulan Ramadhan tidak dapat semua itu. Itulah kesabaran dalam ujian dari Allah.

3. Membentuk Akhlak Mulia

Boleh ke pulan puasa membentuk akhlak yang mulia dalam diri kita?. Boleh, insyaAllah jika kita ikut panduan dan seruan Ramadhan dengan betul dan ikhlas, akhlak kita akan menjadi lebih baik dari sebelumnya. Ramadhan adalah bulan untuk umat islam beribadah dan membuat kebajikan serta kebaikan. Ramai orang-orang soleh dan beriman berlumba-lumba beribadah di bulan ini. Bukan kerana untuk menunjuk amal namun kerana ganjaran setiap amalan itu dilipatkan berkali ganda daripada biasa. Hanya Allah yang mengetahui nilainya. Islam menekankan Umat islam supaya tidak mementingkan diri sendiri, tidak mudah marah, bersifat kasar dan lain-lain perkara yang tidak baik sepanjang bulan Ramadhan. Diriwayatkan Nabi Yusuf a.s pernah berkata :

"Aku takut kekenyangan, nanti aku akan lupa orang yang lapar" ('Ibaadaatul Islam, Muhyiddin Mastu:153)

insyaAllah akan disambung entri ini dalam entri berikutnya. Sama-sama kita menambah amalan kita dibulan puasa. Nasihat WADi untuk diri dan semua, jangan abaikan amalan wajib dek kerana mengejar amalan sunat. Kejar yang wajib dahulu, kemudian ditambah dengan amalan sunat, insyaAllah.

- Amal Dengan Ilmu -

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...