Rezeki milik Allah
ALHAMDULILLAH, kita baru selesai juzu' 30 daripada surah-surah muqaddam. Pada ruangan kali ini penulis ingin membicarakan juzu' ke-29 bermula daripada surah al-Mulk. Surah ini diturunkan selepas surah al-Tur.
Hubungan surah ini dengan surah sebelumnya adalah seperti berikut: Pada surah yang sebelumnya dinyatakan perumpamaan kepada orang kafir tentang dua orang perempuan yang ditakdirkan menerima celaka walaupun mereka itu berada di bawah jagaan dan peliharaan dua orang hamba Allah yang baik.
Di samping itu, dinyatakan juga kepada orang yang beriman tentang Aisyah r.a dan Maryam yang telah ditakdirkan menerima kebahagiaan walaupun sebahagian besar kaum mereka itu kafir.
Selanjutnya dalam surah ini pula, ia dimulakan dengan pembentangan tentang kekuasaan ilmu Allah SWT, kekuasaan dan sistem pentadbiran-Nya yang mantap menurut ketentuan-Nya.
Al-Maraghi berkata: Penetapan keperkasaan dan pengampunan Allah SWT itu menunjukkan Dia Berkuasa dan menguasai ilmu pengetahuan sehingga Dia mampu memberi balasan kepada sesiapa yang mengerjakan perbuatan jahat dengan pahala serta seksaan. Dia juga Maha Mengetahui orang yang mentaati-Nya dari kalangan orang yang menderhakai-Nya. Justeru tidak akan berlaku kesilapan untuk menyebarkan kebenaran kepada orang yang berhak menerima pahala atau dosa hukuman.
Menurut pendapat Qatadah: Allah SWT mencipta bintang itu untuk tiga tujuan iaitu; sebagai perhiasan di langit, alat merejam syaitan dan tanda panduan yang dapat digunakan sama ada di darat atau di laut. Barang siapa yang membicarakannya lain daripada tujuan yang telah digariskan, maka sudah pasti dia dianggap sudah melampaui batas dan zalim.
Memang jelas bahawa pertanyaan ini untuk mengecam dan menghina mereka. Para penjaga dan pengawal neraka turut serta bersama Neraka Jahannam menyatakan kemarahan mereka dan turut serta mengazabkan orang kafir. Tiada yang lebih pahit dari kecaman dan penghinaan orang yang sedang berada dalam kesusahan dan penderitaan.
Ibn Abbas berkata: Sebab turunnya ayat ini kerana orang-orang musyrikin sentiasa mengenakan Rasulullah dengan perancangannya tetapi Jibril AS memberitahu kepada Baginda. Justeru, mereka berkata perlahanlah suara kamu agar Tuhan Muhammad tidak mendengarnya sebaliknya Allah SWT menjawab bahawa Dia Mengetahui segala-galanya.
1. Segala jalan-jalannya. Inilah diriwayatkan oleh al-Aufi daripada Ibn Abbas dan ini pendapat Mujahid.
2. Gunung-ganang dan bukit-bukau. Ini riwayat Ibn Abi Talhah daripada Ibn Abbas dan juga pendapat Qatadah serta dipilih oleh al-Zajjaj.
3. Segala pelusuknya. Inilah pendapat Muqatil, al-Farra', Abu Ubaidah dan dipilih oleh Ibn Qutaibah.
Rezeki itu bukan hanya harta yang dimiliki seseorang yang membolehkannya memperoleh barangan keperluan dan kenikmatan malah rezeki itu ialah segala faktor atau sebab yang mendatangkan rezeki dijadikan Allah SWT di bumi ini.
Faktor-faktor itu asalnya berpunca daripada sifat bumi yang diciptakan Allah SWT dari pelbagai unsur dan pembahagian itu mengikut nisbah yang tertentu. Kemudian barulah kebolehan yang dilengkapkan Allah pada tumbuh-tumbuhan, haiwan termasuk manusia untuk mempergunakan unsur itu.
Semoga Allah SWT kurniakan kita rezeki yang halal dan diberkati-Nya. Amin.
0 comments:
Post a Comment