Rugi lepas peluang beramal bulan puasa

Hasil kesungguhan inilah akan dapat menghapuskan dosa kesalahan kita yang lalu. Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan serta kesungguhan, maka Allah akan mengampunkan dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).
Ibadat puasa dilakukan dengan sempurna akan melahirkan kegembiraan, kekuatan dan seterusnya membina roh serta jiwa kuat dan jitu. Sabda Rasul SAW bermaksud: “Orang berpuasa akan menikmati dua kegembiraan, iaitu ketika berbuka dan ketika bertemu tuhannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Malam Ramadan akan menyaksikan ganjaran besar dari Allah SWT dengan solat didirikan serta pembebasan daripada api neraka. Diserikan pada setiap malam Ramadan dengan seruan: “Wahai pencinta kebaikan, majulah ke hadapan dan pencipta kejahatan silalah undur ke belakang.” (Hadis riwayat Tirmizi, Ibnu Majah dan Hakim).
Rasul SAW sentiasa berpesan kepada sahabat supaya memperbaharui taubat dan memperbanyakkan amalan kebajikan pada Ramadan. Sabda Baginda SAW bermaksud: “Pada bulan ini adanya malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malamnya disediakan pahala ibadat sunat yang sangat banyak, satu kebajikan akan digandakan sehingga 70 kali.” (Hadis riwayat Ibnu Khuzaimah).
Jika dilihat kepada apa dilakukan oleh Baginda SAW, jelas bahawa gandaan usaha dipertingkatkan khususnya pada Ramadan. Ibnu Abbas menceritakan bahawa Nabi SAW adalah orang yang paling pemurah pada Ramadan.
Berdasarkan Ibnu Abbas, kita dapati ramai yang menganjurkan program berbuka puasa setiap hari dengan mengundang fakir dan miskin. Ini adalah suatu perkembangan sihat pada Ramadan.

Amalan bertambah dengan tilawah al-Quran bertepatan bulan yang diturunkan al-Quran sehingga Ramadan juga disebut bulan al-Quran.
Bagi mereka yang tidak menggunakan peluang ini dan berterusan melakukan dosa pada Ramadan, Nabi SAW menyebut dalam sabdanya bermaksud: “Sesiapa yang tidak dapat meninggalkan kejahatan dan kemaksiatan pada Ramadan, maka Allah tidak memerlukan apa-apa daripada puasanya.” (Hadis riwayat Bukhari).
Pernah Baginda SAW menyebut ‘amin’ ketika naik mimbar pada satu Jumaat. Apabila ditanya Baginda SAW menjawab: “Sesungguhnya aku mendengar Jibrail menyebut: Amat rugilah mereka yang mendapat peluang Ramadan sedangkan dia tidak mendapat keampunan daripada Allah SWT.”
Ramadan adalah peluang sekali dalam setahun untuk meraih keuntungan besar daripada tawaran diberikan Allah SWT.
Kata-kata hikmah menyebut: “Mereka yang paling rugi ialah orang yang melepaskan peluang terbaik mereka dan sesiapa yang terlepas satu peluang, dia akan mencipta angan-angan yang berpanjangan.”
0 comments:
Post a Comment