RAMADAN BULAN DIDIK UMAT ISLAM BERDISIPLIN, SABAR HADAPI UJIAN
RASULULLAH SAW bersabda maksudnya: “Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda. Allah Azza Wajalla berfirman: Melainkan puasa, kerana ia untuk-Ku dan Aku sendiri yang membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku. Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan; kegembiraan semasa berbuka dan kegembiraan semasa menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau Musk.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa adalah perkara ‘dharuriah’ dalam agama di mana sesiapa yang mengingkari wajibnya puasa maka ia menjadi kufur, manakala sesiapa meninggalkan puasa tanpa uzur syarie, hendaklah ia dihukum.
Puasa memaksa kita meninggalkan nafsu syahwat walaupun pada perkara dihalalkan untuk melakukannya (sebelum Ramadan). Dengan itu puasa sebenarnya dikatakan sebagai pendidik untuk kita menjadi lebih tegas, berdisiplin dan sabar berhadapan sebarang godaan sepanjang Ramadan.
Ramadan dikenali juga sebagai bulan prestasi di mana Allah memberikan kesempatan kepada orang beriman untuk memperbaiki darjatnya di sisi Allah bahkan di bulan ini semua aktiviti yang harus di sisi syarak dikira sebagai ibadat kepada Allah.
Puasa yang dilakukan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata akan bernilai sepuluh kebajikan (atau lebih). Oleh itu orang yang puasa di bulan Ramadan diiringi puasa enam hari di bulan Syawal dinilai sama dengan puasa sepanjang tahun. Hal itu dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW.
Ramadan adalah bulan ibadat untuk mendekatkan diri kepada Allah seperti dilakukan salafus-salih. Dengan itu kita hendaklah b berusaha supaya tiada waktu berlalu tanpa amal salih sepanjang Ramadan, bulan permohonan, munajat, hidayah dan meraih petunjuk kebenaran daripada Allah.
0 comments:
Post a Comment