Mengekalkan nikmat Aidilfitri, merdeka
Jangan biar perbezaan politik jejas keharmonian serta keamanan negaraSELAMAT menyambut hari raya kepada seluruh umat Islam. Saya mengambil peluang ini untuk memohon ampun maaf, zahir dan batin, sekiranya ada salah dan silap dalam berbahasa, kepada semua pembaca yang setia mengikuti tulisan saya saban minggu.
Kita sanggup bertelagah sesama Islam hatta dalam hal yang membabitkan akidah seperti perkara berkaitan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Mungkin tidak salah untuk kita menubuh atau menyertai parti politik, tetapi amat salah untuk kita menggunakan parti politik bagi kepentingan diri sendiri
Semoga kita semua menyambut kedua-dua hari kejayaan ini dengan penuh keinsafan dan tidak lupa mengucap syukur kepada Allah SWT dengan kehidupan dan kenikmatan yang dicurahkan Yang Maha Esa ini.
Umat Islam sudah tentu akan merindui Ramadan lagi; entah berjumpa entah tidak pada tahun depan. Namun yang pasti, kita hendaklah sentiasa berusaha menambah sumbangan kepada agama dan meneruskan tabiat baik dan ketakwaan yang cuba dibina ketika Ramadan. Kebimbangan untuk kita bagaimanapun masih lagi menjenguk. Kita bimbangkan kelangsungan dan kedudukan agama Islam selepas berlakunya beberapa perkara yang menggugat agama berkenaan berlaku.
Sepanjang Ramadan tahun ini, ada saja laporan dan perdebatan berkisar agama Islam di negara ini. Walaupun kita yakin Islam sentiasa dijaga Allah SWT, ia tetap menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga agama itu.
Kita tidak harus memandang remeh perkara ini. Kita hendaklah sentiasa bersatu padu dalam menangani perkara yang boleh mencemarkan dan menjatuhkan maruah agama Islam dan melupakan fahaman dan anutan politik.
Berkenaan politik dan Islam, saya teringat kebimbangan dilontarkan oleh sesetengah cendekiawan Islam terdahulu yang menentang penubuhan parti politik. Bagi cendekiawan ini mereka menentang penubuhan parti politik kerana pertubuhan seumpama ini akan memecahbelahkan umat Islam.
Melihat kepada situasi kita hari ini, kebimbangan mereka itu sudah terbukti benar. Kita sanggup bertelagah sesama Islam hatta dalam hal yang membabitkan akidah seperti perkara berkaitan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam.
Mungkin tidak salah untuk kita menubuh atau menyertai parti politik, tetapi amat salah untuk kita menggunakan parti politik bagi kepentingan diri sendiri dan jumlah undi. Tujuan setiap pertubuhan seperti yang dibenar dan digalakkan Islam, hanyalah untuk bantu membantu dalam urusan kebaikan, bukan kejahatan.
Sementara itu kemerdekaan sudah berada di tangan kita selama 54 tahun. Adakah kita yakin kita akan dapat menggenggam kemerdekaan itu selamanya? Mungkin kita boleh sama-sama bertanyakan diri, adakah kita berusaha secukupnya untuk menjaga kemerdekaan ini?
Berapa banyak negara di dunia yang pada luarannya sudah merdeka, tetapi kedaulatan negara berkenaan dicabul oleh kuasa asing, sama ada secara fizikal serta nyata atau secara berselindung.
Pelbagai alasan dibuat oleh kuasa besar dunia untuk menghalalkan pencabulan mereka ke atas negara berdaulat itu. Andainya kita gagal menjaga kemerdekaan ini kita juga tidak terkecuali untuk dijajah semula, dalam apa bentuk sekalipun. Ini amat menakutkan.
Pernahkah pembaca membayangkan keadaan sambutan hari raya sebelum kemerdekaan. Meriahkah sambutan hari raya ketika pemerintahan British ataupun Jepun? Adakah ia semeriah atau semewah kita menyambutnya pada hari ini?
Jawapannya sudah pasti. Sudah tentu ia tidak sama seperti hari ini. Mungkin kita sendiri, anak atau cucu kita patut bertanya keadaan sebenar sambutan hari raya sebelum merdeka kepada datuk, nenek atau moyang yang masih ada untuk dinilai kegembiraan dan kemewahannya supaya kita dapat menghargai kemerdekaan ini.
Justeru, seperti sentiasa diingatkan, sama ada oleh pemimpin atau rakan, kemerdekaan yang kita nikmati sehingga ke hari ini perlulah sentiasa dijaga dengan rapi.
Mungkin kita tidak dapat belajar secara tepat daripada mana-mana negara lain di dunia mengenai formula untuk mengisi dan menjaga kemerdekaan ini.
Ini kerana keadaan setempat, masalah dan kelebihan kita tidak sama dengan tempat lain. Namun begitu, sudah tentu kita tahu, ia amat bergantung kepada kita sendiri. Kita semua adalah teras kepada hala tuju dan kelangsungan kemerdekaan negara. Kita adalah penentunya.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab semua lapisan, pemimpin dan rakyat untuk memastikan kemerdekaan sentiasa selamat di dalam genggaman dan kemerdekaan sentiasa diisi dengan kesentosaan, keharmonian dan kemakmuran.
Saya percaya kata-kata sebegini sentiasa disebut, mungkin setiap hari pembaca mendengar atau membacanya, terutama pada bulan kemerdekaan ini. Namun, kita tidak boleh mengambil mudah mengenainya. Ia sentiasa perlu disemat di dalam jiwa dan raga kita.
Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang
Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
0 comments:
Post a Comment