Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Saturday, August 13, 2011


Tiada amalan khusus malam Nisfu Syaaban

SETIAP ciptaan Allah di atas muka bumi mempunyai kelebihan tersendiri supaya manusia dapat melihat dan menilai segala nikmat Allah serta menginsafi kelemahan atau kelebihan masing-masing. 

Begitu juga masa dan tempat yang diberikan kelebihan oleh Allah bagi mereka yang beribadat kepada-Nya umpama di bumi Makkah atau Madinah berbanding di tempat lain.
Beberapa bulan diciptakan Allah juga mempunyai kelebihan tersendiri dalam gandaan pahala ibadat seperti Muharam, Rejab, Syaaban dan Ramadan yang akan ditempuhi tidak lama lagi.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut Allah ialah 12 sebagai ketetapan Allah pada waktu diciptakan langit dan bumi dan antaranya adalah bulan haram. Maka janganlah kamu menzalimi dirimu pada empat bulan itu.” (Surah at-Taubah, ayat 36). 

Tidak dapat dinafikan satu kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 10 kebaikan. Namun demikian, Allah juga menggandakannya hingga menjadi 700 kali ganda seperti apa yang pernah disebut Baginda Nabi SAW. 

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan kebaikan nescaya akan mendapat 10 kali ganda.” (Surah al-Ana’am, ayat 160). 

Hadis sahih juga pernah menyebut Baginda SAW mempertingkatkan ibadat pada bulan tertentu khususnya berpuasa pada Syaaban seperti disabdakan Baginda SAW yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban adalah bulanku dan Ramadan adalah bulan bagi umatku.” (Al-Hadis). 
Hadis sahih juga ada menyebut Baginda Rasul SAW banyak berpuasa pada Syaaban seolah-olah dia berada pada Ramadan. Ini menunjukkan kelebihan yang ada pada Syaaban serta persediaan rapi Baginda SAW menghadapi Ramadan al-Mubarak. 

Dikatakan juga pada malam Nisfu Syaaban ditentukan hari kelahiran dan kematian seorang manusia, ditentukan juga mereka yang akan menunaikan haji pada tahun itu serta mereka yang akan mendirikan rumah tangga. Sesiapa yang berdoa padanya akan dimakbulkan doanya kecuali mereka yang menganiaya orang lain serta berterusan melakukan dosa. (Taharatul Qulub oleh Syekh Abd Aziz Ad-Duraini). 

Atas dasar inilah kita melakukan ibadat pada malam Nisfu Syaaban serta berdoa padanya. Namun demikian, bacaan Yasin tiga kali pada malam itu tiada dalil yang dapat disandarkan dan kita bebas beribadat hingga membaca 1,000 kali surah Yasin sekalipun adalah diharuskan. 

Daripada Abu Hurairah, bahawa pada malam Nisfu Syaaban, ketujuh-tujuh pintu langit dibuka dan ada malaikat pada setiap pintunya memohon keampunan bagi kaum Muslimin kecuali mereka yang berterusan melakukan dosa besar. 

Mereka yang terdahulu juga banyak melakukan solat pada malam itu sehingga mencapai 100 rakaat dengan membaca surah Fatihah dan al-Ikhlas. 

Hasan Al-Basri pernah berbicara dengan 30 sahabat Nabi SAW dan merumuskan bahawa sesiapa yang bersolat seumpama di atas, akan dipandang tinggi oleh Allah serta dimakbulkan doanya dan ditunaikan hajatnya. Paling tidak ia mendapat keampunan daripada-Nya. (Pandangan ahli sufi). 

Diriwayatkan, Aisyah ketika tiba giliran di rumahnya pada satu malam pernah terjaga dan mendapati Baginda SAW bersolat sehingga hampir Subuh serta mendengar Baginda berdoa: “Ya Allah, Aku bersujud pada-Mu dengan jiwa yang penuh ketenteraman. Menadah tangan memohon keampunan dari-Mu kerana tiada yang maha pengampun selain dari-Mu. Aku berlindung dari kemurkaan-Mu serta tiada pujian yang layak diberikan selain dari-Mu”. Tatkala selesai Baginda ditanya oleh Aisyah dan memberitahu bahawa itulah malam Nisfu Syaaban. (Hadis fadilat amalan). 

Kesimpulan daripada apa yang dibincangkan, memperbanyakkan ibadat diharuskan khususnya pada waktu tertentu sebagai latihan dan masyarakat memerlukan motivasi ibadat ketika menjelang Ramadan. 

Semoga amalan yang dilakukan akan dapat diteruskan sepanjang tahun dan menjadi rutin dalam kehidupan kita. 

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...