Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Saturday, August 13, 2011


Tambang Menunaikan Haji kekal


GURUN: Tambang untuk menunaikan fardu haji bagi bakal jemaah yang pertama kali terpilih untuk mengerjakan ibadat itu tahun ini kekal sama seperti tahun lalu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan tidak menaikkan tambangnya walaupun kos sebenar meningkat berikutan kenaikan harga minyak dan pengurusan jemaah di Makkah dan Madinah serta syarat baru yang dikenakan kerajaan Arab Saudi.

“Pelbagai perkara dan pertimbangan diambil kira untuk mengekalkan kos ini terutama untuk menjaga kebajikan jemaah yang setia dan lama menunggu giliran yang berumur lebih 75 tahun, termasuk pertimbangan prestasi dan keuntungan Tabung Haji (TH) tahun lalu,” katanya.

Jamil Khir berkata, subsidi untuk seorang jemaah tahun ini adalah sebanyak RM4,360 berbanding RM3,060 tahun lalu.

Namun menurut beliau, bagi jemaah yang menunaikan ibadat haji bagi kali kedua, mereka dikenakan kos sebenar iaitu tanpa subsidi.
Beliau juga berkata syarat baru kerajaan Arab Saudi untuk meluaskan ruang bilik untuk jemaah dari 3.5 meter persegi kepada 4.0 meter persegi untuk seorang, bermakna bilik yang dikongsi lima orang terpaksa dikurangkan bilangan penghuninya.

Beliau juga menasihati jemaah yang pernah menunaikan haji supaya tidak memohon bagi memberi peluang terutama kepada warga emas yang berumur 75 tahun ke atas yang masih ramai menunggu giliran untuk mengerjakan haji.

Mengenai soal kuota, Jamil Khir berkata, TH masih berusaha mendapat kuota tambahan dari Kerajaan Arab Saudi kerana setengah juta pendeposit sudah mencukupkan simpanan mereka untuk tujuan menunaikan fardu haji selain untuk memendekkan tempoh menunggu giliran dari 20 tahun kepada 10 tahun.

“Kerajaan memohon sebanyak mungkin mengikut kemampuan TH mengurus jemaah termasuk penerbangan dan pengangkutan di Makkah dan Madinah serta keluasan ruang tempat berhimpun jemaah Malaysia di Padang Arafah yang disediakan Arab Saudi,” tambahnya. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...