MAWILLA 2 SERTAI MAJLIS BUBUR LAMBUK MERDEKA ANJURAN RADIO TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) SABAH
Kota Kinabalu, 11 Ogos – Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2) hari ini telah menyertai Majlis Bubur
Lambuk Merdeka Anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah bertempat di perkarangan bangunan RTM Sabah. Majlis yang diadakan ini menjadi acara rasmi dan saban tahun dianjurkan bertujuan mengeratkan hubungan sesama kakitangan kerajaan dan agensi-agensi yang terlibat selain membuat amal jariah dengan mengagihkan bubur lambuk ini kepada golongan yang memerlukan dan orang ramai.
PWL 2 ketika berucap dalam Majlis Bubur Lambuk Merdeka.
Memandangkan TLDM mempunyai kepakaran tukang masak tersohor, pada kali ini MAWILLA 2 telah menghantar seramai 12 orang tukang masak atau bendari TLDM dari unit KD SRI KOTA KINABALU untuk bantuan memasak bubur lambuk. Kesemua bendari TLDM ini diketuai oleh PW II BDI Nasution AK Francis Hollis yang bertanggungjawab menyediakan resepi istimewa bubur lambuk ini. Majlis ini juga telah mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan RTM sendiri yang menyiarkan di saluran TV 1 Berita Wilayah Jam 5 petang hari ini dan Sabah FM yang menyiarkan di corong radio secara langsung.
Simbolik. PWL 2 (kiri) menerima bubur lambuk daripada
YB Datuk Rosnah (2 dari kanan) untuk TLDM di PTKK.
Acara memasak yang bermula seawal jam 8 pagi ini telah disertai oleh seluruh kakitangan RTM Sabah dibantu oleh agensi-agensi seperti PETRONAS, Puteri UMNO Cawangan Papar, BERNAS, Koperasi Pembangunan Desa (KPD), JKK Puspanita RTM Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah dan juga The Navy People dari MAWILLA 2. Dalam melengkapkan lagi acara ini, selain memberikan bantuan tenaga pakar memasak MAWILLA 2 juga menyalurkan bantuan peralatan memasak seperti periuk dan dapur. Manakala agensi-agensi lain seperti PETRONAS telah membekalkan 30 tong gas untuk memasak dan juga apron kepada semua tukang masak dan warga yang terlibat dalam majlis ini. Puteri UMNO Cawangan Papar pula telah menyumbangkan RM3000 selain menghantar tenaga kerja untuk membantu memasak bubur lambuk. Tidak kurang juga BERNAS yang telah menyumbangkan 400 kg beras dan PDRM yang menugaskan anggota untuk mengawal lalu-lintas semasa pembahagian bubur lambuk kepada orang awam.
Temuramah. PW II Nasution sebagai ketua tukang masak ditemuramah oleh wartawan RTM.
YB Datuk Rosnah menampal pelekat 1Malaysia pada kereta jabatan TLDM sambil dibantu oleh PWL 2.
Dalam pada itu, Panglima Wilayah Laut 2 Laksamana Muda Dato’ Anuwi bin Hassan yang menjadi tetamu jemputan dalam majlis berkata, penganjuran majlis seperti ini wajar menjadi pendorong kepada organisasi kerajaan dan korporat lain ke arah penerapan nilai-nilai ramadhan bukan hanya di kalangan warga kerja malahan masyarakat islam di sekitarnya. Beliau telah mengiringi Yang Berhormat Datuk Rosnah Hj Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kesihatan merangkap Wakil Rakyat P. 175 Papar yang merasmikan majlis pada hari ini. Turut hadir dalam majlis perasmian ini adalah Encik Ali bin Hj Ngasio, Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah serta wakil-wakil agensi yang terlibat.
0 comments:
Post a Comment