LAILATUL QADR YANG LEBIH BAIK DARI SERIBU BULAN
Malam yang terbaik dari malam-malam Ramadhan ialah malam Lailatul Qadr berdasarkan sabda baginda صلى الله عليه وسلم :
“Barangsiapa yang menghidupkan Lailatul Qadr, demi keimanan dan perhitungan, diampunkan segala dosanya yang lampau.”
[Diriwayatkan oleh Asy-Syeikhan (Al-Bukhaariy dan Muslim رحمه الله) dan Imam-imam lainnya dari Abi Hurairah رضي الله عنه manakala Imam Ahmad رحمه الله pula meriwayatkannya dari ‘Ubadah bin Ash-Shomit رضي الله عنه]
Menentukan Lailatul Qadr
Sebahagian ulama berpendapat, sebagaimana pendapat segolongan Sahabat رضي الله عنهم, Lailatul Qadr itu jatuh pada malam 27 Ramadhan secara tetap, setiap tahun dari zaman Nabi صلى الله عليه وسلم sehinggalah Hari Kiamat. Maksud malam 27 Ramadhan ialah malam sebelum kita berpuasa hari yang ke-27.
Mereka berpendapat demikian bukan sembarangan tetapi tentunya dengan dalil. Menurut ahli-ahli hadits, terdapat banyak hadits-hadits yang menjelaskan penetapan malam 27 ini.
Salah satu dari hadits-hadits tersebut ialah hadits yang diriwayatkan oleh Zir bin Hubaisy رضي الله عنه yang meriwayatkan :
“Aku telah mendengar Ubaiy bin Ka’ab رضي الله عنه , ketika beliau diberitakan bahawa Abdullah bin Mas’ud رضي الله عنه mengajarkan : Barangsiapa yang menghidupkan malam-malamnya dengan ibadat sepanjang tahun ia akan mendapatkan Lailatul Qadr. Maka kata Ubaiy رضي الله عنه :
"Allah merahmati beliau (Ibnu Mas’ud), tentunya beliau mahukan agar manusia tidak lalai, demi Tuhan yang tiada sekutu bagiNya, sesungguhnya ia jatuh pada bulan Ramadhan dan demi Allah aku tahu malam yang mana satukah ia? Ia adalah malam yang Rasulullah menyuruh kami untuk menghidupkannya, malam (sebelum) pagi (tanggal) 27. Tandanya ialah matahari yang terbit pada pagi itu berwarna putih tiada pancaran padanya."
[Diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lainnya رحمه الله - dan ia terdapat di dalam Shohih Sunan Abi Dawud]
*Tambahan: Walau bagaimanapun, di dalam kitab Sifat Shaum Nabi oleh Sheikh Saliem 'Eid al-Hilaaly dan Sheikh 'Aliy Hasan al-Halabi رحمه الله , mereka berpendapat sebagaimana pendapat sebahagian para ulama' lainnya:
“Jika seorang muslim mencari Lailatul Qadr, carilah pada malam ganjil 10 hari terakhir; malam 21, 23, 25, 27, dan 29. Kalau lemah atau tidak mampu mencari pada sepuluh malam terakhir, carilah pada malam ganjil 7 hari terakhir iaitu; malam 25, 27 dan 29. Wallahua’lam.”
Bacaan Lailatul Qadr
Dari ‘Aaisyah رضي الله عنها berkata:
“Ya Rasulullah, apa pendapatmu jika aku tahu malam Lailatul Qadar, apa yang akan aku ucapkan?”
Baginda menjawab: “Ucapkanlah:
اللَّهُمَّ إِنَّكَ عُفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
“Ya Allah Engkau Maha Pengampun dan mencintai orang yang meminta ampun, maka ampunilah aku.” (Hadis riwayat Imam Tirmizi dan Ibn Majah رحمه الله. Imam Tirmizi kata: Hadis ini hasan sahih.)
Wallahu Ta’aala a’lam.
Kajian oleh: Ustadz Abu Mazaaya
0 comments:
Post a Comment