Subscribe:

MATIKU HIDUPKU HANYA UNTUKMU YA ALLAH

Labels

Monday, August 1, 2011


PERJALANAN HATI TENTUKAN KUALITI IBADAT


HATI adalah tempat utama serta faktor penentu amalan seseorang itu diterima atau ditolak Allah.
Anggota lain hanyalah sebagai penterjemah kepada apa diucapkan oleh hati hingga ada ungkapan menyebut, ‘hati adalah raja dan anggota lain sebagai tentera’.
Daripada Anas, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Tidak akan teguh iman seseorang sehingga hatinya berada dalam keadaan tetap dan teguh.” (Hadis riwayat Ahmad)
Maksud tetap dan teguh adalah akidah tauhid, kecintaan kepada Allah, mengagungkan serta ketaatan kepada-Nya.
Amalan yang baik dan berkualiti lahir daripada hati yang ikhlas dengan mengharap balasan pahala selain berasa takut serta gerun dengan balasan azab. Ketakutan itu antara cabang iman dan seseorang akan menjadi syirik jika sifat takut diletakkan kepada selain daripada Allah.
“Ada beberapa sifat takut antaranya takut yang biasa ada pada semua orang beriman, rasa gementar di hati terhadap balasan dan kekuasaan Allah, takut dengan menjauhi dari melakukan perkara terlarang dan ketakutan yang diiringi kebesaran serta keagungan Allah,”
Sifat takut dianjurkan ialah takut kepada Allah bukan syaitan yang suka menakutkan manusia atau manusia yang suka menakutkan manusia lain.
Allah berjanji kepada mereka yang mempunyai sifat takut kepada-Nya dengan ganjaran yang besar dalam firman bermaksud: “Bagi sesiapa yang takut pada Tuhannya akan mendapat dua syurga. Maka nikmat Tuhanmu yang manakah kamu dustakan? Iaitu syurga yang mengalir padanya dua mata air yang memancar.” (Surah Ar-Rahman, ayat 47-49)
Mereka juga dijanjikan dengan keselamatan dari segala keburukan di dunia dan mendapat banyak kebaikan serta kesudahan yang baik.
Pada masa sama katanya, umat Islam perlu sentiasa merawat hati mereka kerana Allah tidak melihat kepada paras rupa seseorang, tetapi hati serta amalannya.
Ibnu Rejab berpendapat, sifat takut yang tertinggi ialah apabila sifat itu diiringi dengan amalan salih serta meninggalkan perkara terlarang dan ia akan bertambah dari semasa ke semasa seterusnya menjadikan seseorang lebih merendah diri dengan kebesaran Allah.
Seorang ilmuwan tersohor, Abu Sulaiman menyebut: “Tidak akan terpisah antara sifat takut daripada manusia melainkan mereka akan binasa.”
Sementara itu, harapan adalah antara jalan terbaik menuju Allah dan lebih sempurna bergandingan dengan sifat takut.
Apabila kedua-dua sifat ini berada dalam diri manusia, mereka akan menjadi peka dan khusyuk terhadap kebesaran serta azab Allah.
Sabda Rasululullah SAW bermaksud: “Jika seorang mukmin mengetahui akan kehebatan azab Allah nescaya mereka tidak akan mengendahkan syurganya dan jika seorang yang kafir mengetahui betapa besarnya nikmat Allah, mereka tidak akan berputus asa untuk mendapatkannya.” (Hadis riwayat Muslim)
“Perjalanan hati dalam menuju kepada Allah adalah seumpama seekor burung yang sedang terbang di mana sifat kasih (mahabbah) adalah kepalanya. Takut dan berharap adalah kepaknya. Maka tatkala mana terdapat kombinasi yang baik antara kepala dan sayap, kedudukan burung itu adalah stabil dan mantap. Jika terputus kepalanya maka matilah ia dan jika hilang sayapnya, maka burung akan terdedah kepada bahaya pemburu.”
Kesimpulannya, takut daripada azab dan berharap ganjaran pahala daripada-Nya adalah perkara yang perlu ada pada diri setiap individu Muslim. Ia harus kekal dalam jiwa mereka demi kestabilan jiwa dan pembersihan hati ketika disapa kesenangan dunia yang melalaikan.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...